top of page
Search

Berdoa atau membaca doa?

  • Writer: sallonne sallonne
    sallonne sallonne
  • Jul 18, 2019
  • 3 min read

Updated: Jul 19, 2019

Berdoalah sepenuh hati, jiwa dan raga. Hayati permohonan kita kepada-Nya. Barulah nanti tidak terasa betapa derasnya air mata mengalir di pipi kita.


Subhanallah...di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, kita dapat lihat ramai insan dengan mudah mengalirkan air mata sambil menadah tangan memohon doa. Ini adalah situasi yang sangat biasa di Tanah Suci. Pastinya, yang dirayu dan dipinta hanyalah dalam pengetahuan antara seorang hamba dan Tuhannya pada ketika itu.


Ajaibnya, deruan air mata yang mengalir, akan kemudiannya hadir beserta rasa nikmat ketenangan dan kepuasan yang tidak dapat diucap dengan kata-kata. Itulah hakikat fenomena hebat di dua masjid suci, menyambut kehadiran hamba-hamba yang membawa bersama dosa lalu.


Pun begitu, berdasarkan pengamatan, masih ramai juga jemaah kita yang kurang peka dan sedar untuk memanafaatkan waktu dengan berdoa bersungguh-sunggh semasa berada di Tanah Suci. Didapati, antara situasi yang dihadapi oleh para jemaah ialah persoalan bagaimana nak berdoa dan apa yang nak didoakan? Bunyinya seperti isu yang agak remeh, namun sebenarnya sangat perlu ditangani...

“Masih ramai juga jemaah kita yang kurang peka dan sedar untuk memanafaatkan waktu dengan berdoa bersungguh-sunggh semasa berada di tanah suci.”

Tidak keterlaluan dikatakan, isu doa jugalah yang sering merunsingkan sebahagian para jemaah sejak di tanah air lagi. "Aduh...banyaknya doa yang perlu dihafal.. macamana nak ingat ni?" Inilah antara kerisauan yang sering berputar di kotak fikiran, tanpa menyedari bahawa sebenarnya tiada satu pun doa yang wajib dihafal untuk memenuhi tuntutan rukundan wajib haji mahupun umrah.


Sewaktu musim haji lalu, ketika menanti masuknya waktu wukuf di Arafah, terdengar kata-kata ini dari jemaah... "Nak doa apa ye? Taktahu lah nak doa apa..." Rupa-rupanya pada saat yang sangat kritikal sebegitu pun masih ada yang kurang bersedia. Sungguh! Inilah hal yang benar-benar terjadi di bumi Arafah, pada waktu keemasan yang hanya hadir sekali dalam setahun. Sayang seribu kali sayang… hal ini mungkin tidak akan berlaku jika semua jemaah benar-benar menghayati hadith Rasulullah s.a.w. berikut:


“Tidak ada hari yang Allah SWT membebaskan ramai hamba-Nya daripada api neraka lebih ramai daripada hari Arafah. Allah s.w.t.hampir dengan hamba-Nya dan berbangga-bangga dengan mereka kepada para malaikatdengan berfirman: “Apa yang mereka mahu?” [HR Muslim No. 1348]


Seputar isu berdoa


Umumnya, berikut adalah antara isu yang berkisar tentang doa, khususnya semasa berada di tanah suci. Mari kita sama-sama renungi situasi ini...


a) Kurang tahu apa yang perlu didoa

b) Kurang tahu cara (adab) berdoa

c) Kurang tahu bila sebaiknya/sepatutnya berdoa

d) Kurang tahu di mana tempat mustajab doa

e) Kurang tahu mengapa perlu berdoa

f) Kurang tahu nak berdoa untuk siapa lagi selaindiri sendiri

g) Kurang tahu makna doa

h) Kurang hafal doa?

i) Kurang menghayati doa

j) Kurang tahu cara menghayati doa

k) Kurang tahu menyusun ayat untuk berdoa

l) Lebih banyak doa untuk dunia berbanding untuk akhirat.


Kita sendiri bagaimana? Akuilah ada kalanya tanpa disedari, kita pernah berdoa... namun, tidak dengan sepenuh hati. Tapak tangan tidak diangkat menadah dengan sempurna... sambil lewa sahaja. Anak mata pula berkeliaran melihat sana sini.Jari jemari tidak kurangnya turut menggaru-garu di sana sini. Akuilah, ada ketikanya tanpa disedari kita sebenarnya hanya 'membaca doa', bukannya'berdoa'! Astaghfirullah, ampunkan kami ya Allah...


Cadangan tips untuk difikirkan :

Hakikatnya, semuanya adalah saling berhubungan antara satu sama lain. Berdoa bukanlah sekadar lafaz-lafaz kosong yang biasa. Berdoa dengan memahami maknanya, ditambah pula dengan penghayatan yang tinggi, di tempat dan pada ketika yang mustajab, diadun dengan rasa pergantungan dan pengharapan yang sangat mendalam kepada Dia Yang Maha Memiliki segalanya, akan akhirnya membantu melahirkan jiwa kehambaan sebenar, insyaAllah.


Lengkapilah juga doa bukan semata-mata untuk kehidupan di dunia sahaja. Malah, berdoalah untuk berjaya di dunia sebagai jambatan kukuh menuju kebahagiaan di alam akhirat.


Seni berdoa sangat penting semasa berada di tanah suci. Ia adalah sebahagian daripada komponen hebat dalam pakej didikan halus Allah kepada para tetamuNya. Justeru, kita harus berusaha gigih agar tidak terlepas peluang berdoa dengan sepenuh hati semasa di sana. Carilah jalan bagaimana untuk menikmati jamuan terindah ini. Mudah-mudahan air mata yang mengalir akan memadamkan api neraka nanti. Mintalah dunia untuk akhirat. Betapa pentingnya dunia kerana adanya akhirat.


Berdoalah.

Comments


bottom of page