top of page
IMG_20240310_073324_edited.jpg

Secebis nukilan hamba yang berdosa

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam silaturrahim kepada semua bakal tetamu istimewa Allah s.w.t. ke tanah suci.

​

Betapa ramai insan pada masa ini sudah dikurniakan kekayaan, kesihatan dan kelapangan, namun masih belum tergerak hatinya untuk menyahut jemputan Allah s.w.t. ke tanah suci. Betapa ramai juga insan pada hari ini yang hatinya membuak-buak terlalu rindu ingin menjejak kaki dan berdoa sepuas-puasnya di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi sambil mengalirkan air mata keinsafan, namun masih belum tiba masanya untuk berangkat pergi.

​

Justeru… berbahagialah wahai saudara-saudaraku.... alhamdulillah, Allah Yang Maha Pemurah sudah melembutkan hati saudara/i untuk terus berusaha gigih menyahut jemputanNya ke bumi suci. Pastinya, ada yang sudah pun menjejakkan kaki ke sana, ada juga yang sudahpun berkira-kira dan bersiap sedia untuk berangkat bagi menunaikan umrah. Malah, ada juga yang sudah mula menghitung hari untuk memulakan perjalanan 'Rabbani' menunaikan ibadah haji... suatu perjalanan yang bakal mengasuh dan mengasah jiwa - suatu kembara rohani yang lengkap bagi mendidik insan agar benar-benar menghayati erti seorang hamba kepada 'Tuan' (TUHAN) nya!

​

Sedia dimaklumi, tunjang kepada keberhasilan sesuatu perkara yang akan kita lakukan ialah ‘ilmu untuk melakukannya’. Begitulah juga dengan ibadah haji/umrah. Semasa di Arafah misalnya, betapa ramai jemaah haji yang kurang tahu berdoa atau kurang sedar apa yang harus didoakan semasa waktu puncak berdoa. Padahal, Rasulullah s.a.w. telah menunjukkan contoh teladan terbaik dengan memanafaatkan bersungguh-sungguh seluruh waktu Zohor hingga tenggelam matahari semata-mata dengan berdoa di atas unta baginda semasa waktu wukuf di Padang Arafah (rujuk DVD Pelaksaaan Haji oleh Dr. Abd. Basit Abdul Rahman).

​

Betapa ramai yang masih mungkin tidak menyedari bahawa waktu wukuf itu adalah saat yang sangat sebentar cuma. Inilah ketikanya di mana Allah s.w.t. sedang menanti-nantikan doa dan taubat hamba-hambaNya yang berlumuran dosa. Subhanallah...inilah saatnya juga di mana Allah s.w.t. sedang memuliakan hamba-hambaNya di hadapan para malaikat seperti mana hadith berikut

Daripada ‘Aisyah rhodiyallahu ‘anha, dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:


Maksudnya:

“Di antara hari yang Allah banyak membebaskan seseorang dari neraka adalah hari Arafah. Dia akan mendekati mereka lalu Allah berbangga dengan mereka (menunjukkan keutamaan) kepada para malaikat.

Kemudian Allah berfirman: Apa yang diinginkan oleh mereka?” 
[HR. Muslim no. 1348].

​

Memang waktu wukuf itu akan dirasai sangat pantas berlalu bagi mereka yang ‘tahu’. 

​

Di Mina pula, betapa ramai jemaah kita yang kebanyakan masa dihabiskan dengan bersantai, bersembang dan bergurau senda!

​

Sayang seribu kali sayang.


Barangkali jemaah kita kurang peka dengan pesanan demi pesanan agar merebut peluang keemasan ketika berada di tempat-tempat suci sebegitu untuk memperbanyakkan zikir, membaca al-quran dan ibadah lain yang bermanafaat. Tidak kurang juga ada yang merungut-rungut dan melahirkan rasa tidak puas hati dengan perjalanan yang ditempohi semasa di Arafah, Mudzalifah, Mina dan Makkah. Hinggakan ada jemaah tergamak mezahirkan rasa tidak puas hati melalui lisan dan perbuatan. Astaghfirullah.

​

Sekali lagi ditekankan... pokok pangkalnya ialah ILMU.

 

Perkongsian nukilan ini hanyalah secebis pengalaman kami yang masih perlu terus belajar. Sebahagian besar nukilan ini adalah berasaskan pedoman, nasihat dan ilmu yang disampaikan terdahulu oleh para guru yang jauh berilmu berbanding kami yang sangat kerdil ini.

 

Kami memohon ampun dari Allah s.w.t. agar kami tidak menjadi orang-orang yang riak, sombong dan takabbur dalam berkongsi cerita, tips dan pengalaman ini. Ia dilakukan semata-mata untuk mencari keredhoan Allah s.w.t. dan semoga ini menjadi jalan amal kami yang banyak dosa ini. Semoga nukilan kecil ini akan mencetus dan membuka kesempatan kepada anda untuk berkongsi tips dan panduan menarik dalam membantu saudara-saudara kita yang bakal menjejak kaki ke tanah suci nanti.

​

Nukilan pengalaman dan cadangan untaian doa yang dikongsikan tidaklah sehebat dan sesempurna mana, namun jika ia bermanafaat, silalah berkongsi dengan sesiapa sahaja. Mintalah (berdoalah), Allah sentiasa mendengar dan menyaksikan kita.

​

Jika bermanafaat, silalah kongsikan apa sahaja info dari nukilan yang tidak seberapa ini dengan sesiapa sahaja agar kebaikan terus mengalir buat guru-guru kita yang kita sayangi. Semoga Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani memberkati usaha kita yang sedikit ini. Mudah-mudahan ia menjadi pemberat kepada timbangan amal kita nanti, aamin.

 

Sekian, salam silaturrahim.

Wassalam.

Nukilan rasa

Catatan : Perkongsian ini adalah berdasarkan nukilan asal kami sejak tahun 2012 yang dimuat naik melalui platform cari.com.my .

Boleh lihat pautan asal di sini.

bottom of page