Hikmah di sebalik rayuan haji
- sallonne sallonne
- Jul 23, 2019
- 2 min read
Updated: Apr 22, 2024
Jangan berputus asa dengan rahmat Allah.

Allah s.w.t. Maha Tahu. Dia Maha Tahu, walau pun sehalus lintasan di hati.
Surat rayuan sudah dihantar... berkali-kali, namun belum ada rezeki.
Jika pada tahun ini dan tahun-tahun sebelumnya nama kita belum tersenarai, janganlah berputus asa. Teruslah menghantar surat rayuan. Yang lebih penting, janganlah sama sekali berputus asa dengan rahmat Allah. Dia pasti tahu siapa di antara hambaNya yang sangat berharap untuk dijemput sebagai tetamuNya. Dia juga sangat tahu betapa rindunya seorang hamba yang ingin menyahut panggilanNya ke Tanah Suci.
Ingat... jangan berputus asa. Inilah didikan Allah s.w.t. kepada kita sebenarnya. Pandanglah dengan pandangan mata hati. Jangan sesekali melepaskan peluang mengutip mutiara ilmu dari kejadian ini.
Siapa tahu, mungkin masih ada sekelumit rasa pergantungan kita kepada manusia semasa rayuan dipohon, tanpa kita sedari. Tapi Allah s.w.t. Maha Tahu. Dia Maha Tahu, walau pun sehalus lintasan di hati.
Nah, inilah peluang dan saatnya kita berubah. Yakinlah, rayuan yang dihantar kepada manusia sama sekali tidak sehebat rayuan seorang hamba kepada Penciptanya. Rayuan kepada manusia akan melalui beberapa peringkat tapisan sedangkan rayuan seorang hamba akan terus didengar oleh Allah s.w.t.. Rayuan kepada manusia mempunyai batasan waktu. Mungkin terhad antara jam 8 pagi hingga 5 petang sahaja. Sedangkan pintu rayuan kepada Allah s.w.t. sentiasa terbuka 24 jam, malah ia terus terbuka hingga akhir hayat seorang hamba.
Jika kita menangis dan merayu di hadapan manusia agar hajat kita dipenuhi, adakalanya manusia mungkin rasa terganggu atau menyampah lalu kita dimarahi kerana kita dikatakan tidak 'faham bahasa.' Tetapi, Allah s.w.t. dengan sifatNya Yang Maha Mendengar lagi Maha Lembut tetap akan sudi mendengar permohonan kita. Allah s.w.t. yang sifatNya Maha Penyayang tetap ingin mendengar doa dan rintihan kita.
Maka, tolong nyatakan... siapa sebenarnya yang lebih sabar, lebih sudi mendengar dan siapa sebenarnya yang lebih hebat? Jika jawapannya ialah Allah s.w.t., pertanyaannya ialah... mengapa selama ini kita masih menaruh harap kepada yang selain dariNya?! Istighfar...
Pakej haji mendidik agar keyakinan kita semakin teguh bahawa Allah Yang Maha Mendengar sentiasa mendengar segala rayuan dan rintihan kita. Inilah juga sesungguhnya pelatihan sabar dari Allah s.w.t.. Sabar untuk terus berdoa dan meminta, sabar dalam mengharap doa dimakbul dan sabar menerima apa jua ketentuan dari Allah Yang Maha Bijaksana mengatur segalanya, termasuklah urusan kita untuk menunaikan ibadah haji.
Tanpa sedar, proses yang perlu dilalui itu adalah didikan Allah s.w.t. agar kita semakin 'ingat dan dekat' padaNya. Syukur padaMu Ya Allah...
“Alhamdulillah.”
コメント