top of page
Search

Ke tanah suci untuk memberi?

  • Writer: sallonne sallonne
    sallonne sallonne
  • Jul 23, 2019
  • 3 min read

Updated: Apr 22, 2024

Semoga Allah membimbing kita untuk mudah 'memberi'.



Apa perasaan kita ketika bertawaf?

Di Tanah Suci, seringkali jika ditanya, "sudahkah saudara bertawaf?", kita akan berkata, "sudah..". Kemudian apabila kita ditanya, "sudahkan saudara bersai'e?". Kita pun dengan selesanya menjawab, "sudah...".


Namun, bila ditanya, "apa perasaan semasa bertawaf? Apa perasaan ketika bersai'e?".. Lalu ia mungkin akan membuatkan kita tanpa sedar termenung sejenak sambil berfikir mencari-cari jawapan kepada pertanyaan itu. Barangkali kemudiannya kita akan berkata, "rasa apa ye?.. emm.., rasa macam biasa-biasa saja, yang pastinya kena himpit ke kiri ke kanan, depan belakang.. sabar je lah..".


Astaghfirullah...


"Duhai Allah Yang Maha Menyaksikan... ampunkan kami ya Allah...

Ampunkan kami di atas kejahilan kami...

Ampunkan kami kerana kami masih belum mampu memaknai sepenuhnya kehadiran kami ke Tanah Suci ini sebagai tetamu pilihanMu.. "


"Barangkali ini terjadi kerana dosa-dosa masa lalu kami yang menjadi hijab dalam diri kami hinggakan ia manghalang kami untuk merasa betapa tingginya nilai keberadaan kami di Tanah Suci ini..

Ampunkan kami Ya Allah... ampunkan dosa-dosa kami Ya Allah... agar hati dan jiwa kami bersih... agar kami mampu merasa nikmatnya dalam amal ibadah kami di bumi suci ini".


Teringat cerita seorang ustaz di mana beliau pernah ditanya oleh seseorang berkenaan hal ini. Ustaz kata ramai jemaah yang telah 'merasai' betapa nikmatnya dipilih sebagai 'tetamu istimewa' di tanah suci. Hati mereka sangat mudah tersentuh lalu terus luluh apabila mengenangkan dosa-dosa lalu yang dilakukan dek kejahilan (kebodohan) diri sendiri. Deruan airmata keinsafan yang mengalir dirasakan suatu nikmat besar yang sukar digambar dengan kata-kata. Air mata itu juga mengalir kerana rasa syukur yang tidak terhingga seorang hamba kepada Tuhannya. Mana kan tidak, bayangkan setelah bertimbun-timbun dosa dilakukan sepanjang hidup, tiba-tiba Allah yang bersifat Maha Penyayang masih ingin menjemput seorang hamba yang berlumuran dosa dan 'berselimut aib' sebagai tetamuNya.


Ustaz kata jemaah sangat perlu mengambil pelajaran besar dari kisah Nabi Ibrahim a.s. yang telah diperintah Allah s.w.t. untuk menyembelih anak yang sangat disayangi iaitu Nabi Ismail a.s. Persoalannya ialah apa yang membuatkan Nabi Ibrahim a.s. mampu membuat keputusan sebesar itu? Apa yang membuatkan Nabi Ibrahim a.s. mampu menghadapi situasi yang merupakan krisis terbesar dalam hidupnya itu? Tolong nyatakan... krisis apa lagi yang lebih besar dalam kehidupan manusia jika dibandingkan kedahsyatan krisis apabila diperintah untuk menyembelih anak sendiri sepertimana yang pernah dihadapi oleh Nabi Ibrahim a.s.?


Apa yang membuatkan Nabi Ismail a.s. rela untuk disembelih oleh ayahnya sendiri? Bayangkan jika kisah ini berlaku pada zaman ini? Rasa-rasanya ada tak seorang anak yang merelakan diri untuk disembelih oleh ayahnya sendiri?


Maha Besar Allah... hakikatnya, Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. mampu melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. semata-mata kerana mereka menyerahkan seluruh jiwa raga dan kehidupan mereka kepada Allah Yang Maha Perkasa. Mereka mampu menghadapi ujian besar tersebut semata-mata kerana mereka 'menyerahkan diri mereka secara total' kepada Allah s.w.t.. Pasti, ia berlaku secara bulat dan sepenuh hati dari seorang hamba kepada Tuhannya.


Nah.. apa pelajaran besar dari kisah agung ini??? ... Pasti ada suatu mesej besar di sebalik kisah ini diabadikan untuk dihayati oleh kita hingga ke saat ini.. Bagaimana kita sebagai tetamu di tanah suci boleh mengambil ibrah (pengajaran) dari kisah ini???


Apabila Allah mengasihi...

Poin pembelajaran :


a) Niatkan dalam hati untuk 'sungguh-sungguh ingin memberi' semasa ingin menunaikan haji/umrah.


b) 'Memberi' sesungguhnya bermaksud kita menyerahkan diri, seluruh jiwa raga secara total, mengabdikan diri, kepada Dia Raja di Langit dan di Bumi !,..... bukan menuju ke tanah suci hanya sekadar untuk 'meminta' (berdoa)... walaupun tidaklah salah untuk berdoa.


c) Bayangkan... Apabila Allah sudah mengasihi, InsyaAllah setiap doa akan dikabuli..., aamiin.

(Keyword : beri dahulu barulah meminta).


d) Menuju haji/umrah perlu ada niat yang lurus dan tepat... "Inilah pengabdian diriku padaMu Ya Allah.."


e) Application in real life : Seluruh kehidupan ini adalah untuk 'memberi' ('menyerah diri' kepada Maha Pencipta)... 'Pengabdian seluruh jiwa raga.... hidupku dan matiku.. hanyalah untuk MU.'


Al-Baqarah:131 - (Ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya: "Serahkanlah diri (kepadaKu wahai Ibrahim)!" Nabi Ibrahim menjawab: "Aku serahkan diri (tunduk taat) kepada Tuhan Yang Memelihara dan mentadbirkan sekalian alam".


Duhai para tetamu yang istimewa... "Selamat menikmati 'Jamuan Terindah' dari Allah Yang Maha Gagah."


Comentarios


bottom of page