top of page
Search

Tiga cara berhenti rokok

  • Writer: sallonne sallonne
    sallonne sallonne
  • Jul 23, 2019
  • 5 min read

Updated: Apr 22, 2024

Adakah ibadah haji memberi bekas?



Di tanah air, bolehkah kita merokok di kawasan istana?


Jika ditanya kepada para perokok, hampir pasti semuanya akan berkata mereka ingin berhenti merokok. Agaknya, tiada seorang pun yang tidak mahu berhenti merokok! Apatah lagi bagi mereka yang sedang bertarung dengan masalah kesihatan disebabkan tabiat merokok sejak belasan atau puluhan tahun yang lalu.


Rupa-rupanya kesan buruk tabiat merokok bukan sahaja dapat dilihat secara zahir pada warna bibir, gigi dan gusi perokok. Malah, menurut pakar ortopedik, jika seorang perokok mengalami kepatahan tulang anggota badan disebabkan kemalangan, proses penyembuhan yang perlu dilalui secara relatifnya adalah lebih panjang berbanding individu bukan perokok. Ini barangkali sangat berkaitan dengan kenyataan pakar perubatan bahawa racun dari asap rokok juga akan mempercepatkan proses pereputan tulang (osteoporosis).


Begitulah antara 'penangan' ribuan jenis racun yang terdapat dalam rokok. Bayangkan saban hari kita sedang meracuni diri sendiri dengan tar (bahan untuk membuat jalan raya), ammonia (bahan pencuci tandas), naphthalene (ubat gegat), arsenik (racun anai-anai), kadmium (terdapat dalam bateri, DDT (ubat nyamuk) dan formaldehyde (bahan pengawet mayat). Dan bayangkan, racun-racun tersebut sudah sebati dalam darah dan daging kita mungkin sejak 10 atau 40 tahun yang lalu!


Sungguhpun sudah jelas tidak ada satu pun kebaikan dari tabiat merokok, masih ramai yang terus menerus merokok atau baru mula berjinak-jinak dengan rokok. "Yang baru berhenti atau hampir-hampir berhenti pun ramai. Sayang, mereka terkulai di tengah jalan lantaran godaan dan pujuk rayu rakan-rakan 'ahli setia Kelab Nikotin' yang lain", demikian sinis seorang doktor dalam sesi ceramah tidak lama dulu.


Statistik yang dikeluarkan melalui Kaji Selidik Tembakau Dunia (GATS) Malaysia pada tahun 2011 melaporkan seramai 4.7 juta orang rakyat negara ini yang merokok. Lebih mengecewakan, kajian tersebut mendapati rakyat negara ini mula merokok seawal usia 15 tahun.


Dari perspektif kewangan, bayangkan, jika seorang membelanjakan hanya RM 10 sebulan untuk membeli rokok, sejumlah RM 47 juta akan mampu dikumpul setiap bulan. Itu jika RM 10 sebulan. GATS melaporkan bahawa seorang perokok di negara ini membelanjakan purata RM 180 sebulan untuk membeli rokok! Nah... bayangkan betapa gembira dan bersyukurnya saudara-saudara kita yang miskin di seluruh pelusuk negara jika jumlah sebesar itu dapat disalurkan dengan sempurna untuk membantu kehidupan mereka. Dan bayangkan juga betapa nilai itu amat bermakna jika disalurkan sebahagiannya kepada saudara kita di Semenanjung Gaza.


Namun, tidak dipastikan statistik sebenar perokok dalam kalangan bakal jemaah haji kita. Atau lebih spesifiknya, kita masih belum ada data yang tepat tentang bilangan bakal jemaah dari negara ini yang merupakan perokok. Mungkin sudah tiba masanya data penting ini dikumpul setiap tahun bagi mengukur kesan ibadah haji yang dilaksanakan ke atas tabiat merokok para jemaah kita setelah pulang ke tanah air kelak.


Dalam konteks muhasabah diri yang lebih bersifat peribadi, barangkali hal ini juga boleh dipertimbangkan sebagai salah satu indikator mengukur sejauh mana ibadah haji benar-benar memberi 'bekas' di hati para jemaah setelah pulang ke tanah air !


Mengapa isu rokok perlu di beri perhatian? Sudah tentu kerana... percayalah, selama di Tanah Suci semasa musim haji masih terdapat ramai jemaah kita yang merokok. Hal ini sangat menyedihkan. Bayangkan di negara kita, sanggupkah kita merokok dalam kawasan istana raja jika kita dijemput sebagai tetamu raja? Hampir pasti kita akan tunduk dan patuh jika peraturannya ialah melarang kita merokok dalam kawasan istana. Ada 'berani'?


Tapi di Madinah, mengapa kita tergamak dan sanggup mencemari udara bumi suci itu dengan kepulan asap rokok kita sendiri? Malah, tanpa segan silu kita menghembuskan kepulan asap rokok beramai-ramai saambil bergelak ketawa dan bergurau senda? Astaghfirullah... tidak dapat dibayangkan situasi ini berlaku di bumi Madinah. Mengapa kita sampai hati mencemari kemuliaan bumi suci yang di bawahnya sedang bersemadi tubuh seorang insan mulia yang bernama Nabi Muhammad s.a.w.!


Begitulah juga halnya di bumi Mekah. Amat menyedihkan jika kita masih sanggup berkumpul bersama rakan perokok lain dan melepak-lepak di luar hotel sambil melepaskan kepulan asap rokok dengan selamba sahaja... seolah-olah kita tidak menyedari di mana kita sedang berada. Lebih memalukan jika tanah tempat kita sedang berpijak itu sebenarnya pernah juga dipijak oleh tapak kaki Rasulullah s.a.w. sendiri dan para sahabat baginda.


Ampuni kami Ya Allah....

“Bisikkan dengan sepenuh hati pada diri sendiri.”

Cadangan tip :


Jika kita seorang perokok yang bakal menjadi tetamu istimewa Allah s.w.t. di Tanah Suci, hayatilah cadangan tip-tip ini. Marilah kita cuba bisikkan dengan sepenuh hati pada diri sendiri...


a) Aku bertaubat ya Allah... Aku memohon ampun atas dosa-dosa yang hadir bersama kepulan-kepulan asap dari batang rokokku selama ini. Dosa kerana pembaziran wang, dosa kerana melakukan perkara yang memudaratkan kesihatan diri sendiri, dosa kerana memudaratkan kesihatan isteri, anak-anak, dan orang sekeliling, dosa kerana melakukan perkara yang sia-sia, dan dosa apa pun yang aku tanggung tanpa aku sedari kerana tabiat merokok selama ini.


b) Aku berazam dan bertekad untuk meninggalkan terus tabiat merokok, mulai saat ini. Aku mohon bantuan dan kekuatan dariMu Ya Allah Yang Maha Penyayang. Aku tidak mahu dibenci olehMu di dunia dan di akhirat.


c) Aku berazam dan bertekad untuk menjadi tetamuMu yang baik dan tahu menghormati kemuliaan Tanah Suci. Aku tidak mahu menjadi tetamuMu yang akan mencemari kesucian bumi Makkah, Madinah, Arafah, Mudzalifah, Mina dan tempat-tempat mulia di sisiMu.


d) Aku berazam dan bertekad untuk melupakan keinginanku untuk merokok, dan aku mahu istiqomah menyibukkan diri dengan beribadah kepadaMu selama kembara haji ini.


Kesimpulan


Bersyukurlah kerana dalam bilionan manusia yang masih hidup di muka bumi, kita yang berlumuran dosa dijemput Allah s.w.t. sebagai tetamuNya di Tanah Suci. Betapa Maha Pemaaf nya Allah kepada hamba-hambaNya. Maka, tidak mustahil juga dalam bilionan perokok yang masih hidup masa kini, kita dipilih Allah s.w.t. untuk berhenti merokok buat selama-lamanya... bermula apabila kita menjejak kaki di Tanah Suci nanti.


Yakinlah bahawa pintu taubat sentiasa terbuka selagi hayat masih ada. Sungguh pun syaitan pernah berikrar akan menyesatkan anak Adam sehingga hari kiamat kelak, namun Allah s.w.t. Yang Maha Pengasih Lagi Maha Pengampun sifatNya juga berjanji akan mengampunkan hamba-hamba yang 'kembali' dan bertaubat padaNya. Sungguh, betapa Maha Penyayang dan Maha Penyabarnya Allah s.w.t. kepada kita.


Tidak kira sama ada kita perokok atau tidak, apabila bertaubat bersungguh-sungguh, pasti Allah s.w.t. Maha Tahu segala apa yang kita rasa dan bicara (dalam hati). Yakinlah, Allah s.w.t. sentiasa mendengar doa dan permohonan keampunan hamba-hambaNya, apatah lagi di tempat dan waktu yang amat mustajabnya doa. Marilah... kita rebut peluang keemasan berdoa dan memohon ampun semasa waktu wukuf di Padang Arafah, di hadapan multazam, di bawah pancuran emas dalam Hijir Ismail, juga di tempat-tempat istimewa lain di Tanah Suci.


Drpd Abu Sa'I'd al-Khudri bahawa ia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Iblis berkata kepada Tuhannya: 'Demi keperkasaan-Mu dan keagungan-Mu, aku akan selalu menyesatkan anak keturunan Adam selama roh masih berada dalam jasad mereka.'

Allah s.w.t. menjawab: 'Demi keperkasaan-Ku dan keagungan-Ku, Aku akan selalu mengampuni mereka selagi mana mereka meminta keampunan daripada-Ku."

(Hadith riwayat Ahmad)


Teringat kata-kata sinis seseorang... Kita 'berpeluang' untuk terus berhenti merokok dalam tiga keadaan. Pertama, apabila kita mengalami kemalangan lalu terlantar di hospital. Kedua, apabila kita sibuk beribadah sepanjang perjalanan ibadah umrah mahupun haji di Tanah Suci. Ketiga, apabila kita sudah 'pergi tidak kembali lagi'!

Comentários


bottom of page