top of page
Search

Bersabarlah !

  • Writer: sallonne sallonne
    sallonne sallonne
  • Jul 23, 2019
  • 3 min read

Rasailah nikmatnya bersabar di tanah suci.



"Jangan diketuk pintu tandas itu."

"Ingat tuan dan puan... Jangan diketuk pintu tandas itu. Jangan pula dimarahi orang yang sedang ada di dalamnya. Carilah tandas yang lain. Ingat, mabrurnya haji tuan dan puan mungkin ada pada orang itu." Itulah pesanan ustaz yang menyampaikan tazkirah di dataran luar Masjidil Haram pada pagi yang nyaman itu.


Tazkirah yang disampaikan oleh ustaz pada pagi itu sungguh menusuk hati. Barang kali ustaz yang berpengalaman itu pun sudah sedia maklum tentang situasi yang bakal ditempohi oleh para jemaah nanti. Suatu situasi baru yang bakal mencabar erti kesabaran seorang hamba. Sememangnya itulah bekalan kekuatan mental yang sangat diperlukan oleh setiap jemaah sebelum memasuki fasa Arafah, Mudzalifah dan Mina nanti.


Mengapa peringatan tersebut sangat penting? Ya, ia sangat penting! Tidak keterlaluan dikatakan bahawa cerita dan pengalaman dari jemaah terdahulu sebenarnya telah banyak menyumbang kepada tahap kerisauan sebahagian besar bakal jemaah yang akan berangkat ke Tanah Suci. Kisah tentang betapa peritnya menunggu giliran menggunakan tandas semasa di Arafah, Mudzalifah dan Mina, sering merunsingkan fikiran bakal jemaah. Apatah lagi pada mereka yang sudah berusia.


Memang benar di Arafah dan Mina khususnya, di setiap maktab penginapan disediakan kemudahan tandas '2 in 1' (tandas dalam bilik mandi). Namun, nisbahnya masih terlalu kecil berbanding keperluan para jemaah pada satu-satu ketika. Lazimnya, terdapat lima hingga lapan orang yang akan menanti giliran di sesebuah tandas terutama ketika waktu puncak. Ini adalah pemandangan biasa. Hakikatnya, ia mungkin jarang berlaku di tanah air sendiri.


Terimalah, situasi ini tetap akan berlaku terutama di Arafah dan Mina pada setiap musim haji, kecualilah jika suatu hari nanti bilangan tandas ditambah oleh pihak berkuasa di Saudi. Justeru, jemaah sangat disarankan agar bersedia dari aspek mental dan fizikal untuk menghadapinya. Walau pun begitu, sukacita dicadangkan kepada para jemaah lalu yang ingin berkongsi pengalaman, berilah kata-kata yang boleh menenangkan hati bakal jemaah dalam hal ini. Kongsilah keyakinan bahawa pasti ada jalan terbaik untuk menghadapi situasi tersebut dengan bijaksana dan tenang.


Kembali kepada pesanan ustaz tadi, mengapa 'modal kesabaran' sangat penting? Pasti penting, kerana mungkin ustaz sudah berpengalaman melihat jemaah di Tanah Suci sering 'terlupa' untuk bersabar apabila berhadapan dengan ujian. Tambahan pula jika ujian itu berstatus 'tidak dijangka'. Biasalah... apabila diri di luar kawalan, ungkapan dan perkataan yang keluar dari mulut pun ibarat peluru 'machine gun' yang berhamburan. Di tanah air pun begitu juga.


Mungkin ustaz pernah melihat kejadian suami yang memarahi isteri di hadapan jemaah lain. Isteri pula tidak kurangnya. Mungkin ustaz juga sering kali saksikan seorang isteri meninggikan suara kepada si suami semasa di Tanah Suci.


Tidak mustahil, mungkin ustaz juga pernah bertembung dengan jemaah lelaki dari dua negara berbeza yang sedang bertegang leher di dalam masjid. Masing-masing tidak mahu mengalah, tanpa menghiraukan jemaah lain yang memandang. Atau pun ustaz pernah melihat dua orang jemaah wanita berselisih faham, tanpa langsung menyedari di mana mereka sebenarnya sedang berada. Rasa persaudaraan dan tolak ansur sesama insan langsung ditolak ke tepi. Amat menyedihkan.


Bayangkan sungguh-sungguh.... jika Rasulullah s.a.w. yang mulia, melihat semua insiden tadi. Malu... malu...


Mari kita cuba bayangkan kesudahan cerita apabila berlaku situasi tegang tadi? Bayangkan keadaannya apabila si suami dan si isteri masuk ke masjid dalam keadaan bermasam muka. Dalam hati sarat dengan rasa kecewa, geram, dendam, malu, marah, sedih, kecil hati dan sebagainya. Tidak mustahil semua itu akan memberi kesan kepada solat yang akan dikerjakan. Bagaimana pula agaknya jika perasaaan itu terbawa-bawa semasa bertawaf dan bersaie nanti? Hancur!


Mungkin... mungkin itulah antara sebabnya ustaz sungguh-sungguh menekankan soal sabar semasa tazkirah pada pagi itu. Tazkirah yang sebenarnya bukan sahaja relevan sebelum bertolak ke Arafah, Mudzalifah dan Mina. Malah, ia sangat relevan sepanjang berada di Tanah Suci. Dari perspektif yang lebih luas, inilah didikan sabar yang sesungguhnya juga sangat relevan dalam kehidupan apabila pulang ke tanah air nanti.

“Jangan beri ruang kepada syaitan untuk memperkudakan kita!”

Sedarlah bahawa syaitan sentiasa menanti peluang untuk bertepuk tangan, bersuka ria jika mereka berjaya membuatkan kita hilang fokus dan kawalan diri di Tanah Suci. Solat ke mana, tawaf pun ke mana! Sungguh! Hati-hati... janganlah kita berikan walau sedikit ruang kepada syaitan 'memperkudakan' diri kita, tanpa kita sedari.


Ternyata, dataran luar Masjidil Haram pada pagi itu menyaksikan suatu peringatan simbolik yang sangat bernilai, telah disampaikan dengan bijaksana oleh seorang ustaz. Peringatan agar kita lebih bersabar dan bijaksana mengendalikan kemarahan.


Justeru apabila kita terasa akan marah di Tanah Suci nanti, sabarlah... ingatlah pesanan ustaz tadi bahawa mabrurnya haji kita mungkin terletak pada orang yang ada di dalam tandas!


Sabarlah... bukankah kita juga yang selalu memohon agar Allah anugerahkan kita sifat penyabar? Nah...inilah jamuan hebat dari Allah di Tanah Suci.


Comments


bottom of page