top of page

Bersangka baiklah dengan Allah

  • Writer: sallonne sallonne
    sallonne sallonne
  • Jul 20, 2019
  • 4 min read

Allah Maha Baik. Sudah berapa lama kita tidak menyedarinya? Siapakah Allah di hati kita?



Ternyata, keinginan agar tubuh badan sentiasa sihat merupakan antara perkara yang sangat dititik beratkan oleh para jemaah.

Bersangka baik kepada Allah


"Ya Allah... anugerahkan kami tubuh badan yang sihat sepanjang kami berada di tanah suci..." Inilah antara ucapan doa yang lazimnya dipohon oleh bakal jemaah sebelum berangkat ke tanah suci.


Ternyata, keinginan agar tubuh badan sentiasa sihat merupakan antara perkara yang sangat dititik beratkan oleh para jemaah kita sejak berada di tanah air lagi. Tubuh yang sihat mampu memberi tenaga untuk lebih beribadah... begitulah harapan para jemaah kebiasaannya. Bagi memastikan hal ini tercapai, ikhtiar pun disempurnakan oleh para jemaah sebelum berangkat ke tanah suci.


Ada yang membawa pelbagai jenis ubat-ubatan sebagai langkah persediaan menghadapi suasana nanti. Ada ubat untuk menangani demam, selsema, pening, cirit birit, batuk, ulser mulut, penyakit angin dan pelbagai lagi. Segala jenis losyen, minyak angin dan minyak urut tidak ketinggalan. Tidak kurang juga ada yang turut membawa makanan penambah tenaga dan minuman sampingan sebagai bekalan. Antaranya ialah minuman '3 dalam 1' kopi T*ngkat Ali.


Selain dari persediaan ubat-ubatan, bakal jemaah juga lazimnya 'dibekalkan' juga dengan pelbagai nasihat dan petua daripada mereka yang pernah menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Antara petua yang biasa kita dengar ialah jangan terus mandi setiba di sana nanti. Biarkan dulu sehari dua agar badan serasi dengan perubahan persekitaran. Tepat atau tidaknya teori ini tidak dapat dipastikan.


Bagi mengelak demam dan batuk, ada juga yang memberi petua agar meminum 'laban' atau susu masam sepanjang berada di sana nanti. Bawalah juga gula-gula ubat batuk sebagai persediaan. Lebihkan kuantitinya agar dapat berkongsi dengan mereka yang memerlukan. Subhanallah... rupa-rupanya ada bakal jemaah yang sejak awal-awal lagi sudah berniat untuk membantu jemaah lain walau pun belum berangkat lagi? Inilah yang sangat perlu dicontohi. Kita berniat untuk membantu, insyaAllah dengan sifat Allah Yang Maha Adil, kita juga akan dibantu nanti.

“Bila tidak sihat, apa dan siapa yang akan kita fikirkan dahulu?”

Berbalik kepada soal persediaan ubat-ubatan oleh bakal jemaah, ini sebenarnya bertepatan dengan pesan ulamak agar menyempurnakan ikhtiar apabila mula melakukan sesuatu perkara.


Soalnya... bagaimana jika semua bekal ubatan itu telah digunakan, namun masih tidak menampakkan hasil yang positif semasa di Tanah Suci? Demam masih tetap demam, walau pun sudah pelbagai jenis ubat diambil. Batuk pula tetap berterusan meski pun sudah berikhtiar meminum ubat dari pelbagai jenama baru. Malahan, semasa musim yang lalu ada jemaah yang sanggup membeli ubat batuk dari kedai farmasi dengan harga hampir 100 riyal untuk meredakan batuk yang berterusan. Itu pun masih belum dapat dipastikan keberkesanannya.


Nah.. subhanallah, ada suatu pengajaran besar yang sedang dikirim Allah sebenarnya.


Bila tidak sihat, apa dan siapa yang akan kita fikirkan dahulu...? Lazimnya, tentulah kita akan fikirkan tentang tuan doktor, juru farmasi, atau pun mungkin teringat kembali bekal ubat yang kita bawa dari tanah air, bukan?


Begitu juga bila kita lapar, apa yang kita fikirkan dulu? Sudah tentunya... "di mana harusku cari makanan", bukan?


Bila kita berada dalam kesulitan, apa yang kita fokuskan dulu? Tidak jarang kita berhempas pulas berfikir, mencari cara terbaik menyelesaikan permasalahan itu, bukan?


Cuba renungkan... Jikalah benar ini yang selalunya berlaku, hakikatnya ini bererti bahawa kita mungkin lebih mengenali dan berharap kepada tuan doktor, makanan dan daya fikir untuk menyelesaikan persoalan hidup yang sedang kita hadapi... tanpa kita sedari!


Mengapa tidak di saat kita mengalami situasi ujian itu, ALLAH sahaja yang paling pertama berada di fikiran?


Bukankah ALLAH yang lebih tahu dan lebih sempurna rencanaNya ke atas kita? Mengapa harus kita lebih berharap kepada sesuatu berbanding kepada Allah Yang Maha Tahu jalan keluar dari sesuatu persoalan?


Astagfirullah... Bagaimana kita boleh jadi seperti ini?


Adakalanya manusia akan berkata, "definitely impossible! No way.. man!" Tetapi bagi Allah..."Jadilah!... maka jadilah ia!"


Mengapa begitu? Kerana Allah s.w.t berkuasa mencipta, melakukan bahkan merubah segala sesuatu menurut kemahuanNya. Teringat kata-kata dari seorang guru... "suka-suka Allah-lah untuk menentukan apa-apa sahaja menurut kemahuanNya. Tentu sekali ada suatu hikmah besar di sebalik segala sesuatu yang ditakdirkanNya berlaku."


Justeru, dalam situasi apa sekalipun di tanah suci mahu pun dalam kehidupan nanti, marilah kita berlatih belajar untuk tidak bersandar kepada apa pun, selain menaruh harapan secara total hanya padaNya. Ayuh, sama-sama kita menghargai nikmat kurniaan Allah dan mensyukurinya.


Jika sihat.. syukurlah... rebutlah peluang ini sebagai ladang amal untuk melipat gandakan ibadah dan membantu jemaah lain.


Bila sakit... sabarlah... kerana inilah peluang digugurkan dosa ibarat gugurnya daun-daun kering. Bukankah kita juga yang saban hari memohon agar Allah mengampunkan dosa-dosa kita? Jika diuji dengan demam atau batuk-batuk, terus sahaja berdoa kepada Allah agar kita dipermudahkan urusan bertemu doktor yang baik, seterusnya mendapatkan ubat yang paling sesuai sebagai ikhtiar penyembuhan. Pendek kata, hati tetap ingat kepada Allah, ikhtiar tetap diteruskan.


Syukurlah kerana kita hanya diuji dengan batuk. Kita masih mampu melihat, mendengar, makan, minum, dan berjalan ke masjid sambil tersenyum.... berbanding jemaah lain yang Allah takdirkan 'berehat' di atas katil hospital.


Mulai saat ini, marilah sama-sama berlatih memandang setiap sesuatu dengan pandangan mata hati. Marilah kita berbaik sangka dengan Allah.


Cadangan tips untuk difikirkan:

Pertama... luruskan niat (untuk apa melakukan sesuatu?..... pasti hanya untuk memperoleh keredhoaan Allah)

kedua ...sempurnakan ikhtiar (berusahalah dengan sepenuhnya)

ketiga ... berdoa (mohon kepada Allah kerana Dialah sahaja yang mengizinkan sesuatu berlaku)

keempat... bertawakkal (serahkan sepenuhnya kepada Allah kerana Allah Maha Tahu)

kelima... redho dengan ketentuan Allah (syukur dan sabar dengan segala ketentuan Allah kerana Allah Maha Tahu apa yang terbaik untuk kita)


Putuskan harapan dan pergantungan kepada makhluk. Bergantung dan berharap hanya kepada Allah. Sungguhpun syariatnya perlu berurusan dengan manusia, namun hati harus terus tetap diikat erat agar sentiasa hanya berharap kepada Allah.


Comments


bottom of page