Bicara hati di tanah suci
- sallonne sallonne
- Jul 22, 2019
- 3 min read
Updated: Aug 15, 2019
Mohonlah agar Allah sentiasa memelihara bicara di dalam hati kita.

Mulakan dengan menarik nafas perlahan-lahan, sedalam-dalamnya beberapa kali.
Peluang beriktikaf di dataran Masjidil Haram adalah suatu pengalaman yang sangat bernilai. Benar! Rasailah sendiri nanti. Hati pasti terasa sangat tenang dan syahdu, apatah lagi apabila berada di situ ketika masih ramai sedang dibuai mimpi di kamar hotel masing-masing.
Saban waktu, memandang kaabah sahaja pun sudah sangat terasa nikmatnya. Entah mengapa, wajah kita sepertinya tidak mahu menoleh ke mana-mana lagi. Seperti ada kuasa magnet yang menarik-narik anak mata untuk hanya memandang ke arahnya sahaja. Alhamdulillah... syukur padaMu ya Allah di atas rasa nikmat ini.
Teruslah merasai nikmat anugerah Allah ini dengan cuba merenung masuk jauh ke dalam hati. Pilihlah sendiri waktu yang paling sesuai untuk melakukan sesi berikut ini. Mungkin pada malam mahu pun siang hari. Empunya diri lebih memahami.
Meski pun kelihatan ribuan manusia yang sedang bertawaf ketika itu, cubalah sedaya mungkin mencari waktu 'menyendiri'. Tenangkan diri lalu mulalah berbicara melalui bahasa hati...
Mulakan dengan menarik nafas perlahan-lahan, sedalam-dalamnya beberapa kali...
Dengan sepenuh hati, nikmatilah anugerah Allah Yang Maha Hidup kepada kita selama ini...
Subhanallah... ya.. itulah nikmat bernafas yang telah kita kecapi sejak puluhan tahun yang lalu...
Bisikkan di dalam hati dengan penuh lembut, namun tanyalah dengan bersungguh-sungguh...
"Sudahkan aku benar-benar mensyukuri akan nikmat Allah ini?
... Astaghfirullah... Aku terlupa rupa-rupanya!"
Ulang lagi proses ini, teruslah berbicara lagi hingga mula terasa getaran di hati...
Bayangkan semakin kita menyelami betapa besarnya nikmat yang diberi, maka semakin bergetar rasa di hati..
Subhanallah...inilah anugerah Allah sebenarnya. Sekeras mana pun hati seseorang, selalunya ia akan mudah luluh bila berada di bumi suciNya ini.
Teruslah dengan membisikkan perlahan-lahan di dalam hati... Rasakan dengan sepenuh hati...
"Ya Allah... dengan izinMu...
Hari ini, saat ini... aku masih hidup...
Nadiku masih berdenyut...
Jantungku masih berdegup...
Darahku masih terus mengalir dalam tubuh yang kotor ini..."
"Ampunkan aku ya Allah...
Pasti akan tiba saatnya nanti, semuanya akan terhenti..."
Lalu sambil pejamkan mata, bayangkan sungguh-sungguh... katakan...
"Astaghfirullah...
Akan tiba ketikanya nanti... Pasti..."
"... apabila... mataku ini tidak akan mampu lagi melihat barisan ayat-ayat indah kitab suci al-quran, anugerahMu...
Mataku pun sudah tidak mampu lagi menikmati ayat-ayat pedoman mulia dari kekasihMu Nabi Muhammad s.a.w....
Mulutku pun nanti akan tidak mampu lagi berzikir, memuji-mujiMu duhai Tuhanku...
Telingaku ini juga sudah tidak mampu mendengar alunan azan lagi..."
"Akan tiba saatnya...
Kakiku pula pasti tidak akan mampu melangkah ke masjid dan ke majlis ilmu, taman-taman syurgaMu di dunia lagi...
Tangan dan jari-jemariku tentu tidak lagi boleh digerakkan untuk solat... tidak mampu menghulurkan sedekah lagi..."
"Pasti! Saat itu akan tiba jua... pasti!"
“Serahlah diri. Akuilah kesilapan. Akuilah keterlanjuran. Hilangkan kesombongan. Leburkanlah keangkuhan.”
Bayangkan... apabila kita mampu melakukan hal ini dengan sepenuh jiwa, percayalah... air mata akan deras mengalir tanpa kita sedari. Dan semakin kita membayangkan tiba saatnya kita akan meninggalkan dunia ini dalam keadaan masih kurangnya bekalan, maka semakin itulah semakin deras air mata yang mengalir di pipi.
Sambil membayangkan betapa banyaknya nikmat yang Allah beri, bayangkan juga betapa lalainya kita mengucap syukur kepadaNya dalam hidup ini. Bayangkan juga betapa kita juga sudah sering menggunakan anugerah Allah itu ke jalan yang tidak diredhoiNya.
Istighfar... istighfar... sambil membayangkan dosa-dosa lalu...Bayangkan maksiat yang terhasil dari pembuatan nista..... yang datangnya dari mata, mulut, telinga, fikiran, tangan, kaki dan semuanya.... Dan semakin kita membayangkan betapa bodoh dan zalimnya kita kepada diri sendiri, maka semakin itulah penyesalan hadir ke lubuk hati.
Istighfar dengan sepenuh hati...
Teruslah menadah tangan untuk berdoa dengan sepenuh keyakinan bahawa Allah sedang memerhati, menyaksikan kita pada ketika itu. Allah pasti sedang mendengar walau pun hanya hati kita yang berbicara.
Yakinlah... Allah sedang menantikan doa kita...
Serahlah diri. Akuilah kesilapan. Akuilah keterlanjuran. Hilangkan kesombongan. Leburkanlah keangkuhan. Akuilah kita datang ke tanah suci dengan penuh dosa.. Dosa di malam atau di siang hari, dosa yang dilakukan beramai-ramai mahupun seorang diri.
Mohonlah keampunan.
Mohonlah dengan penuh harapan.
Mohonlah sebagai seorang hamba sebenar kepada tuanNya.
Lakukan ini dengan sepenuh hati. Nikmatnya tidak terperi... Pasti tidak rugi.
Cadangan tips untuk difikirkan :
Mula lakukan sesi ini sejak di tanah air lagi. Berlatihlah untuk sungguh-sungguh menjiwai, pasti keberangkatan ke Tanah Suci akan sangat dinanti.
Lakukan juga sesi-sesi bicara hati sebegini semasa di Masjid Nabawi. Percayalah, apabila sudah nikmati proses ini dengan sepenuh hati ketika wukuf di Padang Arafah nanti, kita akan sangat ingin ulanginya lagi... Hati pasti akan sangat merindui saat-saat indah 'dijamu' Allah di bumi barokah itu lagi.
Bagaimana pula jika masih tidak merasa apa-apa pun setelah semua langkah di atas diikuti? Hati masih belum mampu bergetar.
Jawapannya ialah...berdoalah...
... agar Allah lembutkan hati kita yang mungkin sebahagiannya sedang keras membatu...
... agar Allah bukakan hati kita yang mungkin sebahagiannya sedang tertutup rapat...
... agar Allah memberikan cahaya kepada hati kita yang mungkin sebahagiannya sedang gelap gelita ...
... agar Allah menghidupkan hati kita yang mungkin sebahagiannya sedang MATI !
... agar Allah menunjukkan jalan kepada kita yang mungkin hampir tersesat...
... agar Allah menunjukkan cara untuk kita tahu menikmati makna sebagai tetamuNya.
Ringkasnya, BERTAUBATlah.. dengan TAUBAT NASUHA.
InsyaAllah, jika kita terus memohon dengan sepenuh pengharapan, Allah akan tetap membantu. Allah mengundang untuk mendidik. Allah pasti tidak akan membiarkan tetamuNya begitu sahaja tanpa 'dijamu'.
留言