Jangan benci Mina
- sallonne sallonne
- Jul 23, 2019
- 4 min read
Updated: Aug 13, 2019
Ramai yang menangis dan ramai yang hanya suka-suka di Mina.

"Sesaat kemudian si anak kelihatan tunduk sambil sedikit menggelengkan kepala."
Allah takdirkan kami duduk semeja dengan dua orang jemaah wanita sewaktu makan malam pada hari itu. Kelihatannya mereka seperti ibu dan anak. Seorang berumur dalam lingkungan 60an, anaknya mungkin sekitar awal 40an. Setelah sedikit 'ice breaking', memang benar mereka adalah ibu dan anak, berasal dari negeri di pantai timur.
Perbualan ringan kami lebih tertumpu kepada pengalaman yang dilalui semasa di Mina. Semalam, jemaah yang melakukan nafar thani baru kembali ke Mekah, termasuklah kami suami isteri dan juga dua wanita yang bersama kami pada malam itu.
Memang masih jelas terbayang suasana 'berkampung' di Mina. Di situlah jutaan jemaah berkumpul bagi melaksanakan ibadah mabit yang merupakan salah satu perkara dalam wajib haji. Mina yang jaraknya kira-kira 7 kilometer dari kota Mekah memang memberikan banyak kenangan kepada jemaah, khususnya bagi mereka yang jujur melihatnya dengan pandangan mata hati.
Teringat lagi ketika sembang-sembang pada malam itu, kami mengajukan soalan ini, "bagaimana perasaan hajjah apabila bas mula bergerak perlahan-lahan meninggalkan Mina semalam?"
"Tak tahulah nak cakap apa..", si anak memberi respon ringkas seakan masih ada sesuatu yang belum diluahkan sepenuhnya dari hati. Sesaat kemudian si anak kelihatan tunduk sambil sedikit menggelengkan kepala. Memang matanya sudah mula berkaca sambil air mata memang jelas sudah mula mengalir.
"Memang sedih..", sambung si anak sambil mengesat air mata yang sudah membasahi wajah. Ibunya yang duduk di sebelah turut menitiskan air mata. Ternyata, si ibu turut merasakan hal yang sama.
Kami membiarkan seketika detik itu.
"Alhamdulillah... hajjah, bukan semua orang berpeluang merasai seperti yang hajjah rasai sekarang ini, bersyukurlah", ujar kami tanda memahami perasaan yang sedang mereka alami.
Subhanallah... memang sangat sayu semasa hendak meninggalkan Mina semalam. Masih terbayang buminya yang dipenuhi khemah-khemah putih, ibarat sedang memandang ke arah kami sambil mengucapkan selamat jalan. Memang hiba saat itu.
"Selamat jalan wahai para tetamu Allah. Terima kasih kerana berada di sini bersama kami. Syukur kepada Allah yang mengizinkan kami berkhidmat untuk anda, para tetamu Allah. Kami akan tetap di sini mengabdikan diri, memberi khidmat kepada anda lagi. InsyaAllah kita akan bertemu lagi," seakan-akan begitulah 'ucapan selamat jalan' daripada khemah-khemah itu semalam kepada kami.
“Ramai juga yang mengisi masa dengan berbual kosong sambil bergelak ketawa dan menghisap rokok.”
Bermabit di Mina sememangnya memberikan pengalaman baru yang sangat bernilai kepada para jemaah. Bukit-bukit batu, khemah, tilam, tandas, kepelbagaian latar belakang jemaah, mencari batu kecil untuk kegunaan semasa ibadah melontar di jamrah, dan semua perkara yang berlaku di Mina menawarkan pengajaran tersendiri bagi mereka yang mahu mengambil iktibar. Jika diteliti, pasti ada suatu mesej dan hikmah tersembunyi yang bernilai di sebalik semuanya itu.
Di khemah, sungguh pun tidur hanya beralaskan tilam yang bersaiz kecil, ia tetap memberikan kenikmatan yang tersendiri. Saiz khemah yang terhad memerlukan tilam-tilam disusun rapat antara satu sama lain. Hikmahnya, ia sangat membantu dan memudahkan jemaah untuk bersilaturrahim dengan jemaah lain. Selain itu, yang menariknya, tilam tersebut boleh dilipat-lipat menjadi sofa sandar empuk yang istimewa pada siang hari.
Di Mina, biasa kedengaran suara jemaah yang sedang batuk-batuk. Malah, bunyi batuk yang sambung menyambung antara para jemaah menghasilkan suatu irama unik di setiap khemah pada malam hari. Selain itu, pengalaman beratur panjang menunggu giliran di tandas pula mungkin suatu pengalaman baru yang belum pernah dilalui walau di tanah air sendiri.
Ceramah dan tazkirah tidak henti-henti disampaikan sebagai pengisian rohani di khemah masing-masing. Ramai jemaah tidak mahu melepaskan peluang memperbanyakkan amalan membaca al-quran, berzikir dan berdoa di Mina. Pada masa yang sama, ramai juga yang mengisi masa dengan berbual kosong sambil bergelak ketawa, menghisap rokok dan menziarahi deretan peniaga-peniaga jalanan yang berhampiran.
Apa pun, sehingga kini masih terkenang pesanan ustaz semasa tazkirah di bumi Mina. Malam itu, ustaz berpesan sungguh-sungguh kepada para jemaah yang akan meninggalkan Mina sama ada untuk nafar awal mahu pun nafar thani.
Ustaz kata, "Ingatlah wahai tetamu Allah. Janganlah ada sedikit pun di hati kita kebencian kepada Mina. Janganlah sesekali kita meninggalkan Mina nanti kerana bencinya kita kepada khemahnya, tilamnya, tandasnya, panasnya, ketidakselesaannya atau sebagainya. Kepada jemaah yang bercadang melakukan nafar awal, niatkan di dalam hati untuk memberi keselesaan kepada jemaah lain. Kepada semua jemaah, ingatlah... jangan sampai kita tinggalkan Mina kerana benci kita kepada Mina. Jika kita benci Mina, bermakna kita membenci ketentuan Allah kepada kita !"
Begitulah peringatan daripada ustaz pada malam itu. Pesanan yang terus masuk ke dalam hati, apatah lagi kepada kami insan yang lemah ini. Istighfar... "Ya Allah... kami ingin terus berada di bumi Mina ini sehingga tiba waktu berangkat pulang ke Mekah... Janganlah Kau izinkan sekelumit pun ada rasa kebencian kepada bumi barokahMu ini, aamin."
Kami tidak begitu pasti berapa ramai antara jemaah yang menukar fikiran untuk terus berada di bumi Mina setelah mendengarkan pesanan ustaz tadi. Apa yang pasti pesanan yang sebegitu bernilai belum pernah kami dengar semasa di tanah air. Belum juga pernah kami temui dalam bacaan-bacaan sebelum ini.
Memang benar, selain di Arafah dan Mudzalifah, Mina merupakan tempat Allah 'menjamu' para tetamuNya. Kepada bakal jemaah sekelian, jangan sesekali lepaskan peluang keemasan berikhtiar untuk menikmati jamuan itu nanti !
Ternyata, si ibu dan si anak yang kami temui pada malam itu memang sudah merasai nikmat 'dijamu' Allah. Mereka merasai kerana mereka tidak membenci Mina !
Comments