top of page
Search

Mudahnya berbuat baik di tanah suci

  • Writer: sallonne sallonne
    sallonne sallonne
  • Jul 19, 2019
  • 3 min read

Jangan lepaskan peluang membantu jemaah lain.


Terlalu banyak peluang berbuat baik yang Allah tawarkan kepada kita dalam hidup ini. Di Tanah Suci apatah lagi... Subhanallah, terlalu istimewa peluang yang sedang menanti untuk dihidangkan kepada kita.


Antara yang sangat bernilai dan mudah dilakukan, namun tidak ramai yang merebutnya ialah peluang menyebarkan salam di Tanah Suci. Barang kali kita masih terbawa-bawa rasa beratnya mulut mengucapkan salam seperti dalam kehidupan harian kita di tanah air.


Semasa bermulanya kembara haji/umrah nanti, ucapkanlah 'assalamualaikum' kepada petugas di lapangan terbang, kepada polis yang bertugas di masjid, kepada peniaga di kaki lima, kepada petugas di hotel penginapan, kepada peminta sedekah, kepada pemandu bas yang kita naiki, kepada pekerja pembersihan dan kepada siapa sahaja yang Allah takdirkan kita temui nanti. Subhanallah... betapa bernilainya kesempatan yang Allah sediakan ini..


Sebarkanlah salam sebagai doa kesejahteraan kita kepada para tetamu Allah atas dasar persaudaraan sesama Islam. Kita sama sekali tidak akan sampai hati meremehkan jemaah lain selama berada di Tanah Suci jika kita sedar bahawa mereka juga adalah tetamu undangan Allah. Pandanglah dengan pandangan persaudaraan dan kasih sayang tanpa mengira siapa mereka. Mereka mungkin hanya sekadar warga negara Bangladesh atau Indonesia yang mengabdikan diri sebagai pencuci lantai dan tandas masjid. Mungkin kotor pada pandangan mata kasar, tapi sangat mulia di sisi Allah, insyaAllah.


Malah, kita sepatutnya lebih merasa malu kerana mereka adalah insan istimewa yang dipilih Allah untuk berkhidmat di 'rumahNya' berbanding kita dan puluhan juta manusia lain yang sedang hidup di muka bumi ini.


“... disarankan agar kita sentiasa gigih mengendali diri agar tiada lintasan di hati untuk menghina orang lain.”

Selain itu, disarankan agar kita sentiasa gigih mengendali diri supaya tiada lintasan di hati untuk menghina orang lain. Di tanah suci, kita akan menemui ramai jemaah dari negara lain. Dari utara, selatan, timur dan barat... semuanya datang bertamu untuk memperoleh cintaNya Allah. Ada yang tinggi, ada yang rendah. Ada yang kurus, ada juga yang gempal. Ada yang warna kulitnya cerah, ada juga yang sangat gelap.


Jelas sekali, di antaranya mengenakan pakaian yang ala kadar sahaja. Kain ihram mahu pun kain telekong mereka tidaklah sebersih, setebal, sehalus atau semahal kita. Pakej haji/umrah dan hotel penginapan mereka pun tidaklah sehebat kita. Malah, jarak hotel mereka dengan masjid pun tidaklah sehampir hotel kita. Namun, ayuh ingatkanlah diri kita selalu agar kita tidak sesekali memandang mereka dengan pandangan menghina.


Siapa tahu mereka jauh lebih mulia daripada kita di sisi Allah. Siapa tahu, di tanah air sendiri, mereka adalah ahli sedekah yang sangat ikhlas biarpun harta dan wang mereka sangat terbatas. Sedangkan kita di tanah air, sangatlah berkira untuk memasukkan wang ringgit ke dalam tabung masjid. Pada setiap Jumaat, nilai pemberian kita masih sama sejak sepuluh tahun yang lalu. Bila menderma sahaja, timbul keinginan untuk diketahui orang. Bila memberi, selalu kita katakan, "ini pemberian ikhlas dari saya."


Siapa tahu, di tanah air sendiri mereka juga adalah peniaga yang sangat jujur dan menghalusi dalam setiap aktiviti perniagaannya, biarpun secara kecil-kecilan. Mereka tidak pernah mengurangi timbangan kerana mereka ingin pastikan hanya rezeki yang halal dan bersih sahaja yang akan disuapkan ke mulut anak-anak. Sedangkan kita di tanah air mungkin berpangkat besar atau ahli korporat yang disegani, berurusan dengan projek yang jutaan ringgit nilainya. Namun, Allah Maha Tahu yang kita sering lupa untuk bersikap jujur dengan klien, pekerja dan pembekal. Malah kita kurang jujur untuk berani mengakui bahawa kita tidak jujur.


Ringkasnya, bijaklah dalam mencari dan manafaat sepenuhnya peluang yang diberikan Allah untuk melakukan kebaikan semasa di Tanah Suci. Adakalanya peluang itu hanya datang sekali.


Cadangan tips untuk difikirkan:

Dalam kembara haji/umrah nanti, rebutlah peluang menjadi orang yang terdahulu memberi salam.


Usahakan untuk sentiasa kendalikan hati, fikiran, lisan dan perbuatan agar tiada rasa riak, sombong, angkuh dan suka membangga diri. Elakkan dari memandang rendah orang lain kerana siapa tahu hati mereka jauh lebih bersih berbanding hati kita yang sering kotor ini.


Teringat pesanan daripada seorang guru yang menyatakan bahawa kita sebenarnya masih belum sungguh-sungguh ikhlas jika semasa memberi, kita masih inginkan orang lain tahu bahawa kita ikhlas. Seharusnya, ikhlas itu lahir dari hati, bukannya lisan. Biarlah Allah sahaja yang tahu. Cukuplah jika Allah sahaja yang melihat, malaikat yang mencatat. Tidak lebih dari itu. Tidak perlulah kita inginkan agar manusia juga tahu. Inilah sebenarnya ujian ikhlas yang harus kita hadapi.


Semasa di tanah suci, pandanglah tetamu-tetammu Allah dengan pandangan kasih sayang, nescaya semakin luas peluang melakukan kebaikan yang terbentang.

Comments


bottom of page