Mengapa masih belum mampu menangis di tanah suci?
- sallonne sallonne
- Jul 19, 2019
- 3 min read
Updated: Aug 10, 2019
Mungkin masih ada 'error' di hati?

"Bapak-bapak, ibu-ibu... dengar baik-baik wahai bapak-bapak, ibu-ibu para tetamuNya Allah....
jika bapak-bapak dan ibu-ibu sudah berulang kali bertawaf di baitullah, namun masih belum ada air mata yg menitis ketika bertawaf... saya sarankan bapak dan ibu bertawaflah lagi... bertawaflah hingga bapak dan ibu mampu menitiskan air mata..."
"... ingatlah wahai bapak dan ibu... kita tidak mampu mengalirkan air mata sewaktu bertawaf mungkin kerana masih ada 'error' di hati kita. Justeru, ketika bertawaf, rasakanlah dengan sepenuh hati... mintalah dengan sepenuh hati. Pada ketika itu, sebenarnya di sana ada ribuan malahan mungkin ratusan ribu malaikat yang sedang menanti untuk meng'amin'kan doa bapak dan ibu sekelian..."
“Kita tidak mampu mengalirkan air mata sewaktu bertawaf mungkin kerana masih ada 'error' di hati kita.”
Subhanallah, peringatan dan kata-kata semangat ini sebenarnya lahir dari lisan seorang ustaz. Kelihatan dengan jelas kesungguhan beliau menyampaikan pesanan tersebut agar ia benar-benar menyusup ke dalam hati jemaah yang sedang duduk kusyuk mengelilinginya di dataran luar Masjidil Haram pada pagi itu. Dari pakaian mereka, jelas mereka merupakan jemaah dari negara jiran kita... kira-kira 200 orang bilangannya.
Mulanya kami hanya ingin berdiri, namun kasih sayang dan perancangan Allah melebihi apa yang difikirkan manusia. Hakikatnya, Allah mahu kami terus berada bersama jemaah tersebut untuk mengikuti sepenuhnya tazkirah yang disampaikan.
Ada jemaah yang menoleh sambil melemparkan senyuman bersama anggukan kecil... tanda mengalu-alukan kehadiran kami. Kami mengambil keputusan menyertai mereka dan duduk bersama-sama. Subhanallah... kami rasakan seperti sudah ada satu ikatan ukhuwah yang erat, yang sudah lama terjalin. Alhamdulillah, terasa benar nikmat persaudaraan di bumi barokah ini. Siapa yang anugerahkan rasa nikmat itu? Sudah tentunya Allah Ya Salaam, Yang Maha Pemberi Kesejahteraan.
Secara retrospektif, pada awalnya, saya dan isteri hanya ingin singgah sebentar sambil 'lihat-lihat' sahaja. Mendengarkan kata-kata ustaz tersebut ibarat menerima satu tamparan peringatan yang sangat tepat pada masanya. Apatah lagi, seluruh jemaah sedang ternanti-nantikan hari wukuf yang bakal menjelang tiba tidak berapa hari lagi. Inilah yang pasti menjadi bekal bernilai kepada kami untuk meneruskan kembara rohani di bumi suci ini.
Siapa yang menggerakkan hati
Subhanallah... cadangan asal yang hanya ingin 'lihat-lihat' sahaja bertukar kepada satu pengisian ilmu yang sangat hebat nilainya. Itulah kasih sayangNya Allah.
Siapa sebenarnya yang menggerakkan hati kami untuk melangkah pulang melalui laluan itu?
Sebelum itu... Siapa pula yang sebenarnya menggerakkan hati kami untuk melalui laluan itu sebelum masuk ke masjid pada awal pagi itu?
Siapa yang menggerakkan hati kami pada awalnya untuk 'berhenti seketika' dan 'hanya melihat-lihat' sahaja apa yang disampaikan oleh ustaz itu?
Siapa yang menggerakkan rasa ingin tersenyum dan menunjukkan wajah 'silalah bersama-sama kami' pada diri beberapa orang jemaah itu?
Siapa pula yang mengizinkan kami merasakan tenang dan lega diterima apabila berada dalam kumpulan jemaah itu?
Siapa yang Maha Tahu bahawa hal ini ditakdirkan berlaku sebelum menjelangnya hari wukuf, hari yang sangat dinanti-nantikan oleh sekelian tetamu Allah di tanah suci?
Subhanallah..... alhamdulillah, tiada kata-kata sebanding nikmat ini, yang dapat diucapkan sebagai tanda syukur atas nikmat Allah semasa menjadi tetamuNya ini. Sungguh... Inilah antaranya yang akan membuatkan kita mengalirkan air mata syukur bila kita bertawaf nanti.
Hati-hati jika masih ada 'error' di hati.
Cadangan tips untuk difikirkan bagi menambahkan penghayatan ketika di tanah suci :
a) Sedar dan yakinlah bahawa cara layanan istimewa Allah kepada para tetamuNya di tanah suci sangat berbeza berbanding cara seorang manusia melayan tetamunya di rumah sendiri. Malah, cara dan nikmat istimewa layanan Allah ini hanya akan disedari jika kita benar-benar mahu melihatnya dengan pandangan mata hati.
Allah mengundang kita untuk menikmati 'jamuan terindahNya'.
b) Katakan dengan penuh kesedaran di hati bahawa, sedikit kesukaran yang dialami di Tanah Suci merupakan tanda kasih dan sayangNya Allah kepada kita. Allah ingin mengangkat darjat hamba-hambaNya, Allah inginkan kita menjadi insan yang lebih sabar sambil menghapuskan dosa-dosa lama.
c) Bersedia secara psikologi untuk menerima sebarang ujian. Mungkin dalam bentuk emosi, kesihatan, kewangan, hubungan dengan orang lain, keletihan dan sebagainya. Namun, yakinlah dengan sepenuh hati bahawa Allah Maha Penyayang. Allah sayang, sebab itulah Allah beri 'peluang' kita merasainya. Dan YAKINLAH akan janji Allah bahawa di sebalik kesukaran akan ada kesenangan... PASTI!
d) Bertaubat bukan hanya bermula apabila kita baru mula tiba di Tanah Suci. Malah taubat sepenuh hati perlu dilakukan mulai sekarang ini, segera! Yakinlah, insyaAllah taubat kita akan menjadi pembersih 'error' di hati. Taubat akan menjadi pembuka pintu gerbang penerimaan Allah terhadap kita sebagai tetamuNya yang paling istimewa nanti.
“Allah mengundang kita untuk menikmati 'jamuan terindahNya'.”
Comments