top of page
Search

Pergi sebelum kembali

  • Writer: sallonne sallonne
    sallonne sallonne
  • Jul 22, 2019
  • 2 min read

Mengapa masih belum hadir rindu untuk ke tanah suci?



Dari Allah kita datang, dan kepada Allah jua akan kita kembali. Pasti.


Betapa ramai malam tadi merupakan malam terakhir seorang anak menatap wajah ibu dan ayah yang tercinta. Betapa ramai juga malam tadi adalah saat terakhir seorang ibu dan seorang ayah membelai rambut anak-anak yang disayangi.


Tidak sedikit juga yang malam tadi adalah malam terakhir seorang suami membantu isterinya di dapur. Malah bukan sedikit yang malam tadi adalah malam terakhir seorang isteri menyediakan hidangan kepada suaminya yang dicintai.


Benar...


Betapa ramai juga semalam adalah hari terakhir seorang hamba mendengar laungan azan, berwudhuk dan bersujud. Tidak sedikit juga semalam adalah hari terakhir berpeluang membaca al-quran dan menadah tangan berdoa memohon keampunan.


Dari Allah kita datang, dan kepada Allah jua akan kita kembali. Pasti.


Alhamdulillah, saat membaca tulisan ini kita masih hidup. Allah Yang Maha Penyabar (As-Sobur) masih memberi peluang kepada kita lagi hari ini...


Bersyukurlah, jika Allah Yang Maha Pemurah (Ar-Rahman) sudah menghujamkan rasa kerinduan yang sangat mendalam di dalam diri untuk dijemput sebagai tetamuNya ke Tanah Suci. Berbahagialah, jika saban hari harapan itu semakin meninggi, malah sudah terbayang-bayang suasana indah untuk dinikmati di sana nanti.


Begitulah rasanya apabila kerinduan untuk bertamu ke Tanah Suci sudah mekar membunga di sanubari. Seluruh jiwa dan pemikiran akan hanya berfokus kepada tujuan yang satu itu ...


Namun, bagaimana jika hari ini adalah hari terakhir hidup di muka bumi... dan anehnya sedikitpun masih belum terasa rindu untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci?


Semua syarat sudah pun dipenuhi, kemampuan sudah semesti, namun hati masih terasa sangat berat untuk melangkah pergi. Meninggalkan sebentar urusan dunia yang hakikatnya tidak abadi, dianggap sebagai suatu kerugian yang tidak dapat tukar ganti. Benar, tidak sedikit yang seperti ini.


Pasti... tanpa disedari, Allah sedang melihat dan sedang menguji...


Lebih menyedihkan, ketika sedang sibuk melayan dunia, tiba-tiba tanpa dijangka nyawa kita diambil pergi. Ditambah lagi, pergi dalam keadaan diri yang tiada langsung keinginan untuk ke Tanah Suci! Rasa rindu jauh sekali.


Astaghfirullah... apa yang akan kita katakan apabila kita menghadap Allah nanti? Alasan apa yang boleh diberi?


“Siapa tahu mungkin hari ini adalah hari terakhir peluang dan kesempatan diberi.”

Justeru, sementara peluang dan kesempatan masih terbuka luas, marilah bersama kita memanafaatkan sepenuhnya umur yang berbaki. Marilah bersama kita berbuat baik kepada orang-orang yang kita sayangi.


Marilah bersama kita berbuat baik kepada Allah. Suburkanlah rasa cinta yang mendalam untuk menyahut jemputan Allah ke Tanah Suci. ... kerana siapa tahu hari ini adalah hari terakhir peluang dan kesempatan diberi.


Marilah bersama pergi ke tanah suci sebelum kita 'kembali'... sebelum menyesal tidak bertepi.


Ampuni kami Ya Allah...



Cadangan tips untuk difikirkan :


Rebutlah peluang, carilah kesempatan untuk menyambut undangan Allah ke tanah suci. Apabila sudah memenuhi syarat, tiada lagi alasan yang boleh diberi.


Usah bertangguh lagi untuk membuat perancangan ke tanah suci. Usah di nanti waktu bersara atau usia menjangkau 60an baru nak berangkat pergi. Siapa tahu mungkin esok atau lusa, ajal tiba.


Bersegeralah mendaftar diri di Tabung Haji mulai hari ini. Pesan seorang guru, daftarlah terus anak yang baru lahir untuk menunaikan haji. Tidak rugi.

댓글


bottom of page