Salam sejahtera ke atasmu ya Rasulullah..
- sallonne sallonne
- Jul 23, 2019
- 6 min read
Updated: Apr 24, 2024
Bagaimana mungkin tidak menangis apabila berada di bumi Madinah?

"Lupakah kita betapa cintanya para sahabat pada Rasulullah s.a.w. ketika Perang Uhud?"
Salam sejahtera ke atasmu duhai kekasih Allah...
Nabi Muhammad s.a.w. adalah seorang insan mulia yang sangat dicintai oleh para sahabat baginda. Dikisahkan bahawa para sahabat akan berasa sangat gelisah jika tidak dapat memandang wajah baginda walau sehari. Apabila berada di rumah, mereka selalu ternanti-nanti untuk bertemu baginda yang mulia. Subhanallah, betapa cinta dan setianya para sahabat pada baginda, melebihi cinta pada diri dan keluarga mereka sendiri.
Mengapa Rasulullah s.a.w. sangat dicintai?
Sudah tentu kerana baginda adalah seorang insan yang sangat berakhlak mulia. Dalam diri baginda subur dengan sifat pengasih, penyayang, belas kasihan, prihatin, sabar, pemurah, pemaaf, penyantun dan terlalu banyak sifat terpuji yang tiada pada manusia biasa. Baginda mengasihi kepada yang tua dan yang muda, kepada yang miskin juga yang kaya. Bahkan, baginda menyayangi bukan sahaja kepada manusia, malah sirah membuktikan bahawa baginda juga sangat mengasihi haiwan.
Nabi Muhammad s.a.w. selalu mendahului untuk berjabat tangan dan mengucapkan salam. Baginda sangat pemaaf dan tidak pernah membalas kejahatan dengan kejahatan. Malah baginda sentiasa tenang dan berlapang dada apabila berhadapan dengan sesuatu keadaan.
Baginda yang mulia sentiasa murah dengan senyuman. Malah, seorang sahabat bernama Jabir ibn Samurah r.a. begitu terpesona melihat keindahan wajah baginda. Menurut beliau, sesungguhnya wajah baginda Rasulullah s.a.w. lebih indah dari bulan purnama di malam hari. Beliau juga menceritakan suatu hari Rasulullah s.a.w. pernah mengusap wajahnya. Ketika itu beliau dapat merasakan sejuk dan lembutnya tangan baginda. Bahkan, tangan baginda berbau harum seolah-olah baru dikeluarkan dari bekas minyak wangi. Subhanallah...
Di sebalik kelembutan dan kemuliaan peribadi yang tiada tandingannya, baginda merupakan panglima perang yang tegas dan tangkas. Di medan perang, baginda selalu berada di barisan hadapan menentang musuh Islam. Baginda berjuang bermati-matian dengan titisan darah, keringat dan air mata, demi umat baginda yang tercinta. Bagindalah juga insan mulia yang pernah diherdik, dicaci, dimaki hamun, malah pernah dikatakan gila oleh penduduk Mekah pada suatu ketika dulu. Betapa biadapnya mereka terhadap kekasih Allah ini.
Sungguh.. walau sehebat apa pun tohmahan dan gangguan fizikal yang menimpa, baginda tetap teguh bersabar. Insan yang mulia ini tidak pernah membalas kejahatan dengan kejahatan. Baginda berjiwa lembut dan merupakan insan yang sangat pemaaf. Malah, baginda membalas kejahatan dengan kebaikan dan doa.
Bayangkan... baginda jugalah yang pernah dihina dan diusir keluar oleh penduduk To'if suatu ketika dulu. Baginda dan para sahabat diejek dan dilemparkan dengan kata-kata kesat. Tubuh dan wajah baginda yang mulia telah dilontar dengan batu oleh kanak-kanak To'if hingga berdarah. Agaknya apa yang akan kita rasai dan lakukan jika kita berada bersama baginda pada saat-saat getir itu?
Adakah kesetiaan kita seperti setianya Zaid ibn Harithah r.a. semasa bersama Rasulullah s.a.w. di To'if?
“Astaghfirullah... lebih menyedihkan lagi jika semasa berada di bumi Madinah pun, kita masih belum mampu merasa apa-apa.”
Lupakah kita betapa cintanya para sahabat pada Rasulullah s.a.w. ketika Perang Uhud? Jangan sesekali kita lupa saatnya apabila musuh kembali menyerang tentera Islam, para sahabat rela berkorban menjadikan tubuh mereka sendiri sebagai perisai mempertahankan serangan terhadap Rasulullah s.a.w.. Para sahabat rela gugur syahid demi mempertahankan Islam dan menyelamatkan baginda yang sangat dikasihi. Sanggupkah kita melakukan sebegitu demi Rasulullah s.a.w.?
Hakikatnya, kini baginda Rasulullah s.a.w. sudah tiada di sisi kita. Pertanyaannya ialah... adakah kita benar-benar merasai kehilangan baginda pada saat ini? Hairan... mengapa kita tidak merasa apa-apa apabila mengenangkan kelahiran dan kewafatan Rasululullah s.a.w.? Sebaliknya, kita mungkin lebih sibuk memikirkan destinasi percutian berbanding menghadiri majlis ilmu memperingati kelahiran baginda.
Malah, mengapa kita tidak langsung merasa rindu kepada baginda yang mulia sepanjang kehidupan kita sedangkan pengorbanan baginda demi kesejahteraan umat tidak terhitung nilainya.
Astaghfirullah... lebih menyedihkan lagi jika semasa berada di bumi Madinah pun, kita masih belum mampu merasa apa-apa juga. Sedangkan, tanah yang kita pijak itu, di bawahnya sedang bersemadi jasad seorang insan agung yang sangat mulia. Bayangkan... Imam Malik r.h. sendiri tidak sanggup menunggang kenderaan di kota Madinah kerana hormat dan malunya beliau akan hakikat terdapatnya maqam Rasulullah s.a.w. di kota suci itu.
Sayang sekali... bukan hanya kita tidak mampu merasakan cinta kita kepada Rasulullah s.a.w., bahkan kita juga tidak mampu untuk merasakan betapa cintanya baginda kepada kita selama ini... astaghfirullah...
Mengapa hal ini boleh terjadi?
Hairan? Usahlah hairan jika hati kita sedikit pun tidak merasakan apa-apa tentang Rasulullah s.a.w.. Akuilah, ini terjadi mungkin kerana baginda Rasulullah s.a.w. belum benar-benar berada di hati dan jiwa kita!
Akuilah dalam hati kecil kita... mungkin hati kita tidak pernah tergetar sedikit pun ketika mendengar kisah hidup Rasulullah s.a.w.. Tidak pernah tergetar kerana kita belum sungguh-sungguh mencintai baginda. Dan bagaimana mungkin kita akan mencintai baginda jika kita sendiri pun belum sungguh-sungguh berusaha untuk mengenali peribadi dan kisah perjuangan baginda.
Anak-anak kita bagaimana? Sudahkah kita ajari mereka untuk mengenali dan mencontohi Rasulullah s.a.w.? Sudahkah kita tanamkan di jiwa mereka betapa cintanya Rasululullah s.a.w. kepada mereka. Lebih menyedihkan lagi jika kita sendiri yang selalu menyuburkan rasa cinta anak-anak kita kepada manusia lain yang belum tentu mampu menunjukkan jalan lurus ke syurga untuk mereka!
Ampunkan kami Ya Allah.
Semoga pesanan Allah s.w.t. melalui Surah at-Taubah ini akan menginsafkan kita :
Katakanlah: “Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluarga dan harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik. [Surah At-Taubah:24]
Hadirkan juga sepenuhnya di dalam hati, harapan agar kita diberi peluang meminum air telaga kauthar dari tangan baginda sendiri.
Abdullah bin Amr r.a. berkata :
Nabi s.a.w. bersabda : "Haudhku (Telagaku) luasnya sepanjang perjalanan sebulan, airnya putih bagaikan susu, baunya lebih harum dari misik (kasturi) dan gelasnya sebanyak bintang di langit, siapa yang dapat minum daripadanya tak akan haus untuk selamanya." (Hadith riwayat Bukhari & Muslim, No. 1478).
Mulai saat ini, berusahalah dengan gigih untuk merasakan cintanya Rasulullah s..a.w. kepada kita...
Kepada bakal tetamu Allah, berbahagialah... kerana anda akan berpeluang merasakan nikmat menjejakkan kaki di Masjid Nabawi nanti.
Jangan sesekali lepaskan peluang keemasan ini.
Rasailah sungguh-sungguh cinta baginda yang tetap subur hingga ke saat ini....
Salam sejahtera ke atasmu ya Rasulullah...
Salam sejahtera ke atasmu duhai kekasih Allah...
Cadangan tip untuk difikirkan :
1. Kenali Nabi Muhammad s.a.w.
Kita perlu tahu riwayat hidup baginda. Ini termasuklah kisah perjuangan baginda, akhlak, cara hidup, hinggalah saat akhir hayat baginda. Ia tidak terhenti di situ sahaja. Kita juga harus tahu apakah janji Allah s.w.t. kepada baginda dan apa yang akan dilakukan oleh baginda di kemudian hari yang tiada penghujungnya. Semuanya kekal tercatat dalam al-quran dan hadith sehingga kini
2. Hayati pengertian selawat
Saban hari kita akan berselawat ke atas baginda, terutamanya ketika solat. Di luar solat tidak kurangnya. Namun, alangkah baiknya jika kita mendalami pengertian sebenar selawat yang kita sering ucapkan itu. Ia bukan sekadar maksud yang tersurat, malah kita harus mendalami maksud tersirat di sebalik ucapan selawat itu. Subhanallah, nescaya kita akan semakin menyayangi Rasulullah s.a.w. apabila kita mampu menghayatinya.
3. Cintai Nabi Muhammad s.a.w.
Untuk mencintai Rasulullah s.a.w., kita perlu mengenali baginda terlebih dahulu. Untuk mengenali baginda, kita perlu berusaha mencari maklumat tentang siapa sebenarnya baginda yang mulia.Tanamkan rasa cinta dan rindu ingin bertemu dengan Rasulullah s.a.w. di akhirat kelak. Kerana Rasulullah s.a.w. sangat cinta dan rindu pada umat baginda. Kekhuatiran baginda tentang nasib umat jelas dilihat walau sehingga ke detik akhir hayat baginda. Bahkan, baginda yang mulia rela ingin menanggung segala kesakitan sakarul maut yang dialami oleh umat baginda... subhanallah... Betapa cintanya Rasulullah s.a.w. pada kita umat baginda. Hayatilah kecintaan baginda ini, nescaya kita akan tersungkur malu kerana selama ini tidak pernah mencintai baginda.
4. Kenang jasa Nabi Muhammad s.a.w.
Hayatilah kisah perjuangan baginda sepanjang hayat. Keringat, air mata dan darah menjadi saksi perjuangan suci Rasulullah s.a.w. menegakkan kalimah tauhid. Hakikatnya, kita mampu merasai nikmat Islam, Iman dan Ihsan pada hari ini. Jika pada ibu bapa sahaja kita wajib taati dan berterima kasih atas jasa mereka, inikan pula Nabi Muhammad s.a.w. utusan Allah s.w.t.. Kita adalah manusia yang sombong jika tidak tahu mencintai, mengenang budi dan berterima kasih pada baginda. Bayangkan, sudah berapa lama rasa ingin berterima kasih itu tidak pernah hadir dalam diri sepanjang hidup kita?
5. Syukur kepada Allah s.w.t.
Menangislah... ucapkan setinggi-tinggi kesyukuran pada Allah s.w.t. atas utusan dan kurniaan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai penghulu ikutan kita. Kita harus menyedari bahawa baginda yang mulia hakikatnya adalah nikmat terbesar yang dianugerahkan Allah kepada kita selama ini. Baginda adalah anugerah Allah s.w.t. kepada Ibu bapa kita, datuk nenek dan moyang kita, juga kepada anak-anak dan keturunan kita nanti. Subhanallah... bayangkan.. jika tanpa Rasulullah s.a.w., siapa kita hari ini?
Kesimpulannya, marilah bersama-sama kita berusaha untuk menyuburkan rasa cinta pada Rasulullah s.a.w.. Antara perkara yang sangat dituntut ialah perlunya kita sering berselawat ke atas baginda. Usahlah menyombong diri. Hakikatnya, kita yang sangat jahil dan lemah ini sangat mengharapkan syafaat dari baginda di kemudian hari sebagai satu bentuk pertolongan yang sangat beerti!
Hadirkanlah rasa dicintai dan mencintai Nabi Muhammad s.a.w. dalam kehidupan kita. Nescaya, rasa ini akan semakin membuak-buak di hati apabila mula menjejakkan kaki di kota Madinah nanti.
Bayangkan air mata kerinduan yang akan mengalir deras di saat kaki mula memijak lantai Masjid Nabawi nanti....
Ya Rasulullah... Kami teramat rindu padamu...
Comentários