Seloka mujahadah di tanah suci
- sallonne sallonne
- Jul 23, 2019
- 3 min read
Senyumlah... jika terasa.

"Ada ketika kita marah sangat !"
Ada ketikanya kita rasa macam terlalu letih,
sedangkan kita tidaklah letih sangat pada waktu itu.
Ada ketikanya kita rasa macam demam,
sedangkan itu cuma mainan perasaan malas sahaja.
Ada ketikanya kita rasa hotel kita jauh sangat dari masjid,
sedangkan hotel jemaah lain lebih jauh dari hotel kita.
Ada ketikanya kita berlengah-lengah ke masjid kerana hotel kita dekat,
sedangkan jemaah yang hotelnya lebih jauh sudah tiba lebih awal daripada kita.
Ada ketikanya kita rasa jemaah yang hotelnya jauh dari masjid ada alasan untuk bersolat di hotel,
sedangkan kita yang menginap di hotel berdekatan masjid lebih sering solat di hotel.
Ada ketikanya kita lebih gemar solat di hotel tanpa alasan kukuh,
sedangkan pahala solat di Masjidil Haram ialah 100 ribu kali ganda.
Ada ketikanya kita marah sangat,
sedangkan pada awalnya kita masih mampu mengawal kemarahan sebelum menguasai diri kita.
Ada ketikanya kita rasa perlu bertegang urat,
sedangkan kita boleh maafkan sahaja.
Ada ketikanya kita rasa teragak-agak,
sedangkan kita boleh terus sahaja bersedekah.
Ada ketikanya kita rasa berbelah bahagi,
sedangkan kita boleh terus sahaja membantu.
Ada ketikanya kita lebih pentingkan diri sendiri semasa di masjid,
sedangkan kita perlu lebih bertolak ansur dan bertimbang rasa.
Ada ketikanya kita tidak izinkan jemaah lain berkongsi duduk dengan kita di ruang yang terhad di dalam masjid,
sedangkan kita selalu inginkan ehsan jemaah lain mengizinkan kita berkongsi dengan mereka.
Ada ketikanya kita sengaja biarkan jemaah tercari-cari ruang kosong untuk masuk saf,
sedangkan kita boleh bergerak ke tepi sikit untuk memberi ruang kepadanya bersolat di sebelah kita.
Ada ketikanya kita lebih gemar solat di kawasan yang berhawa dingin,
sedangkan melihat kaabah sahaja pun sudah mendapat rahmat.
Ada ketikanya kita lebih kagum dengan kerlipan lampu di menara jam ketika azan berkumandang,
sedangkan kaabah berada di hadapan kita.
Ada ketikanya kita sengaja meminum terus air zamzam setelah gelas kita penuh diisi,
sedangkan kita boleh hulurkan gelas itu kepada jemaah yang lebih berusia di belakang kita.
Ada ketikanya kita terus merungut dan mengeluh,
sedangkan kita boleh terlebih dahulu istighfar sambil meyakini pasti ada hikmah di sebalik apa yang berlaku.
Ada ketikanya kita terus menyalahkan orang lain,
sedangkan kita yang bersalah.
Ada ketikanya kita ingin menasihati,
sedangkan kata-kata kita kurang nilai kasih sayang.
Ada ketikanya kita ingin menegur,
sedangkan kita sering melenting apabila ditegur.
Ada ketikanya kita lebih gemar membeli belah,
sedangkan kita perlu lebih fokuskan kepada ibadah.
Ada ketikanya kita lebih risau tidak bertemu kedai yang dicari,
sedangkan kita perlu lebih risau jika tidak dapat berada di saf hadapan.
Ada ketikanya kita suka berbual kosong sambil hisap rokok di tepi hotel,
sedangkan rokok diharamkan dí Tanah Suci oleh kerajaan Arab Saudi.
Ada ketikanya kita lebih gemar berbual-bual hal dunia sewaktu wukuf di Arafah,
sedangkan waktu itu patut dimanafaatkan sepenuhnya dengan berdoa dan bertaubat nasuha.
Ada ketikanya kita lebih gemar berbicara tentang bisnis dan hal-hal dunia semasa di Tanah Suci,
sedangkan falsafah ibadah haji/umrah kurang kita hayati.
Ada ketikanya kita lebih cenderung merasa bangga dengan keistimewaan pakej haji/umrah kita,
sedangkan layanan dan 'jamuan' Allah bukan bergantung kepada harga pakej haji/umrah.
“Ada ketikanya kita pernah berkata bahawa kita akan melontar sekuat hati syaitan yang berada di ketiga-tiga jamrah.”
Ada ketikanya kita lebih sibuk dengan kamera dan perakam video yang dibawa semasa menziarahi tempat bersejarah di Mekah dan Madinah,
sedangkan yang harus lebih diutamakan ialah menghayati sepenuhnya kisah perjuangan Nabi dan para sahabat yang sedang disampaikan oleh ustaz.
Ada ketikanya kita lebih gemar bercerita tentang keburukan jemaah negara lain ketika mereka bertawaf,
sedangkan hati kita tidak pernah tersentuh dan mengalirkan air mata semasa bertawaf.
Ada ketikanya kita rasa bangga sangat dengan bilangan umrah yang telah kita laksanakan berbanding jemaah lain,
sedangkan tanpa sedar kita sebenarnya lebih mengejar kuantiti berbanding kualiti.
Ada ketikanya di hadapan kaabah kita lebih cenderung meminta 'dunia',
sedangkan kita terlupa untuk meminta agar diri kita sentiasa mencintai Allah dan dicintaiNya.
Ada ketikanya kita berdoa agar anak-anak kita berjaya dalam hidup,
sedangkan kita terlupa berdoa agar mereka juga mencintai Rasulullah s.a.w.
Ada ketikanya kita pernah berkata bahawa kita akan melontar sekuat hati syaitan yang berada di ketiga-tiga jamrah,
sedangkan yang perlu dilontar ialah syaitan sebenar dan nafsu jahat yang ada dalam diri kita sendiri! Astaghfirullah...
Ada ketikanya kita terlalu bergantung harap kepada manusia,
sedangkan perjalanan ibadah haji/umrah adalah pakej didikan Allah agar kita bergantung harap secara TOTAL hanya kepadaNya.
Ada ketikanya kita sering menyalahkan Allah tanpa kita sedar,
sedangkan Allah Sangat Menyayangi kita.
Allah tetap menjemput kita sebagai tetamuNya yang istimewa sungguhpun kita telah banyak berbuat dosa! Astaghfirullah...
Ada ketikanya kita rasa kita hampir kalah, sedangkan kita belum sungguh-sungguh bermujahadah.
Comments