top of page
Search

Semuanya semata-mata kerana izin-Nya

  • Writer: sallonne sallonne
    sallonne sallonne
  • Jul 18, 2019
  • 2 min read

Kita hanya berikhtiar menyampaikan dan berkongsi rasa bersama mereka. Yang mengizinkan mereka benar-benar merasa hanyalah Dia.




“Mereka terbuka hati semata-mata kerana Allah-lah yang meniupkan rasa cinta di jiwa agar ingin segera berangkat pergi!.”

Alhamdulillah, dengan rahmat Allah, kita telah diizinkanNya berada di Bumi Suci....


Masih tergambar lagi di fikiran hingga kini. Setiap kali apabila mula memasuki masjid, mata mesti tercari-cari di mana Kaabah atau ingin sentiasa memastikan agar mendapat tempat solat yang paling strategik. Seboleh mungkin harus sentiasa bertentangan ke arah Multazam tanpa sebarang hadangan.


Memang hebat. Memandang Kaabah sahaja pun sudah membuatkan hati berasa sangat tenang, seolah-olah seperti ada tarikan magnet agar pandangan tidak teralih ke arah lain lagi.


Justeru, marilah bersama-sama kongsikan pengalaman berharga ini dengan insan-insan di sekeliling kita. Kongsilah dengan seikhlas mungkin sambil beristighfar agar Allah jauhkan kita dari perasaan riak, sombong dan takabbur (yang mungkin ada tanpa disedari). Kita hanya inginkan mereka turut merasai. Tidak mengapa jika mereka masih belum sepenuhnya mengerti. InsyaAllah, semoga Allah detikkan hati-hati mereka untuk menyahut panggilan Allah suatu ketika nanti, aamin.


Terbukti, dari pengalaman 'berkempen' dan 'memujuk' rakan-rakan agar mengambil keputusan ke tanah suci, alhamdulillah, dengan izin Allah beberapa orang sudah pun dibukakan hati menjejakkan kaki ke sana. Ada juga yang sudah berulang-ulang kali menunaikan umrah sama ada secara sendiri mahupun bersama ahli-ahli keluarga tercinta. Subhanallah, ada antaranya juga dengan sekelip mata mengambil keputusan menunaikan haji, meskipun perlu berbelanja besar demi memenuhi kekosongan tempat yang hanya tinggal melalui pakej Tabung Haji.


Hakikatnya, mereka pergi bukanlah kerana kami yang hina ini. Mereka terbuka hati semata-mata kerana Allah-lah yang meniupkan rasa cinta di jiwa agar ingin segera berangkat pergi!


Cadangan tips untuk difikirkan :


Semasa berkongsi cerita/pengalaman peribadi bertamu di tanah suci dengan mereka, berdoalah seikhlasnya di dalam hati agar Allah s.w.t. menyampaikan jua jemputanNya kepada mereka suatu hari nanti (Allah Maha Mendengar meskipun dari celah lipatan hati yang terdalam).


Cadangan doa :


Duhai Allah Yang Maha Penyayang...

Aku lakukan ini semata-mata keranaMu ya Allah...

Dengan sifat Maha PenyayangMu... jemputlah mereka menikmati 'jamuan' terindahMu di tanah suci

Kasihanilah mereka... Lembutkan hati kami dan lembutkan hati mereka duhai Allah... aamin.


Sekian untuk kali ini. Wassalam.

Kommentare


bottom of page