Strategi hati di tanah suci
- sallonne sallonne
- Jul 23, 2019
- 2 min read
Hadirlah ke tanah suci dengan perancangan yang rapi.

"Bertimbang rasalah semasa giliran kita menggunakan tandas."
a) Strategi penggunaan tandas
Jemaah disarankan agar bijak mengatur strategi penggunaan tandas. Gunalah tandas di luar waktu puncak. Sebagai alternatif, silalah gunakan peluang membersihkan diri sepuasnya ketika ramai yang masih dibuai mimpi di khemah masing-masing.
b) Bertimbang rasa
Bertimbang rasalah semasa giliran kita menggunakan tandas. Elak pentingkan diri sendiri. Janganlah mandi seperti kita mandi di rumah. Bisikkan di dalam hati, "aku nak guna tandas ini sekejap aje. Di luar ramai lagi yang sabar menunggu, termasuklah pakcik tadi. Aku harus segera! Sekarang aku permudahkan urusan orang lain, waktu lain aku yakin Allah akan permudahkan urusan aku pula! Allah Maha Adil."
c) Ketika 'emergency case'
Dalam keadaan 'terlalu kritikal', jika perlu memotong giliran, mintalah kebenaran dengan bersopan. Maklumkan dengan lemah lembut meminta belas kasihan. Berjanji dan yakinkan orang di hadapan bahawa kita akan masuk hanya untuk membuang air kecil sahaja kerana 'emergency case'. Masa yang akan diambil kurang 1 minit. InsyaAllah, jika kita benar-benar jujur, pakcik atau abang yang menanti di hadapan akan dengan mudahnya memberi keizinan sambil tersenyum. Itulah tanda kebahagiaan dalam 'memberi'.
Jangan sesekali terlupa ucapkan terima kasih setelah menyelesaikan urusan. Berdoalah dalam hati agar Allah permudahkan pula segala urusan pakcik atau abang yang bermurah hati tadi. Allah Maha Adil. Bersedialah juga jika ditakdirkan tidak mendapat keizinan. Jangan marah.
d) Bersilaturrahim
Allah takdirkan sesuatu pasti ada hikmahnya. Manafaatkan masa beratur yang panjang untuk bersilaturrahim. Pasti ada cerita lucu daripada pakcik di sebelah tentang pengalaman beliau menunaikan haji sebelum ini. Siapa tahu, mungkin rezeki kita bertemu kembali saudara mara yang sudah lama terpisah. Siapa juga tahu, mungkin Allah takdirkan bertemu bakal mertua, menantu atau ipar semasa sabar beratur menunggu giliran di bumi Mina.
e) Nasihat yang baik
Disarankan agar jemaah yang sudah berpengalaman memberikan nasihat kepada bakal jemaah agar tidak terlalu risau dalam hal penggunaan tandas di Arafah, Mudzalifah dan Mina. Seboleh mungkin yakinkan mereka bahawa Allah Maha Mengatur segalanya. Berdoalah agar Allah berikan ketenangan dan rasa selesa sepanjang berada di sana. Mohonlah kepada Allah agar diri dapat memberi tumpuan sepenuhnya beribadah. Jangan langsung biarkan isu tandas memberi kesan negatif kepada diri sendiri. Allah Maha Tahu tahap kesanggupan hambaNya menghadapi sesuatu ujian. Sangat mudah bagi Allah untuk melakukan apa sahaja menurut keinginanNya.
“Carilah kebahagiaan memberi semasa di tanah suci.”
Comments