Tetamu yang paling istimewa
- sallonne sallonne
- Jul 23, 2019
- 6 min read
Updated: Apr 22, 2024
Pergi Mekah dengan 'pakej' apa?

Pelatihan haji sudah bermula sejak di tanah air lagi.
"Pergi Mekah nanti dengan pakej apa? Berapa ribu? Berapa orang sebilik? Hotel jauh ke dekat?" Begitulah mungkin antara soalan-soalan 'cepumas' yang sering diajukan oleh saudara mara dan sahabat handai bakal jemaah nanti.
Usahlah rimas dan gusar, layani sahaja soalan-soalan itu dengan tenang dan berhemah sambil tetap memelihara hati. Memang ada antara soalan itu tiada jawapan yang pasti. Walau apa pun tujuan soalan diajukan, bersangka baiklah dengan orang yang bertanya kerana ia akan membuatkan hati kita lebih tenang nanti.
Pelatihan haji sudah bermula...
Hakikatnya, ibadah haji itu sendiri merupakan suatu bentuk 'pakej' didikan Allh s.w.t. kepada hamba-hambaNya. Tanpa sedar, didikan yang Allah s.w.t. sediakan bukanlah semata-mata bermula apabila seorang jemaah menjejakkan kaki di Tanah Suci. Malah, bakal tetamu Allah s.w.t. sebenarnya sudah mula memasuki gerbang tarbiyah hebat Allah s.w.t. sejak dari tanah air lagi. Antaranya ialah didikan agar bakal tetamuNya mula memelihara lisan, perbuatan dan hati sejak awal-awal lagi (termasuklah cara kita memberi respon dan melayan soalan-soalan tentang pakej haji tadi).
Selain itu, suatu hal yang sangat penting ialah kesedaran tentang siapa sebenarnya yang berkuasa memilih bakal tetamu ke Tanah Suci. Kuasa dan hak memilih hakikatnya secara mutlak hanya ada pada Allah s.w.t. semata-mata. Sekali lagi ditekankan... hakikat sebenar-benarnya yang memilih ialah Allah s.w.t., bukan manusia. Jika terpilih, bersyukurlah kerana Dia-lah yang sesungguhnya mahu menjemput kita, bukan sesiapa. Inilah mesej besar dari Allah s.w.t. yang harus kita disedari. Hal ini pun jika diteliti betul-betul, pasti akan menyebabkan terlalu banyak air mata yang akan menitis.
Lazimnya bakal jemaah akan semakin rancak membuat persediaan apabila nama mereka disahkan terpilih ke Tanah Suci. Ternyata, persediaan yang terlibat sebenarnya bukan hanya berkisar kepada pemeriksaan kesihatan, berapa kerap kursus haji yang perlu dihadiri, apa yang perlu dibawa, pengetahuan tentang senarai rukun dan wajib haji, jenis-jenis haji, apa yang perlu dilakukan di Arafah, Mudzalifah dan Mina, adab menziarahi maqam Rasulullah s.a.w. di Masjid Nabawi, dan banyak lagi keperluan lain dari senarai semak yang tertera dalam buku panduan haji. Sangat benar, semua yang tersenarai itu adalah sangat penting ditekuni.
Namun hakikatnya persiapan ke Tanah Suci bukanlah terbatas pada senarai yang panjang itu. Persediaan sebenar menjangkau lebih jauh dari apa yang dapat dilihat dengan mata kasar. Menuju ke Tanah Suci bukanlah seperti menuju ke suatu destinasi pelancongan semata-mata. Kita mungkin sangat berpengalaman mengelilingi dunia. Tetapi, perjalanan kali ini lain ceritanya. Ia lain dari yang lain. Ingatan daripada para pembimbing haji/umrah, mungkin inilah kali pertama dan terakhir kita akan menempuh perjalanan sebegini. Justeru,.. hadapi, hayati dan nikmatilah perjalanan (dan proses) ini dengan sepenuh hati. Jika tidak, kita yang rugi.
Sejak di tanah air, marilah melihat setiap proses yang dilalui dengan pandangan mata hati, bukan sekadar dengan pandangan mata yang ada di kepala. Pasti terlalu banyak perkara yang boleh dipelajari sebagai bekal ke Tanah Suci dan juga dalam kehidupan yang sementara ini.
Secara sedar, ketahuilah juga bahawa Ibadah haji merupakan suatu perjalanan yang sarat dengan hikmah bersifat fizikal, emosi dan rohani. Ia merupakan suatu pakej didikan khusus yang unik, malah sangat istimewa yang dilalui oleh para tetamu pilihan Allah s.w.t. nanti.
Pakej didikan yang bersifat holistik ini benar-benar di'design' oleh Allah s.w.t. untuk melentur peribadi seorang hamba agar dia sedar akan status 'kehambaannya' yang sebenar. Pakej ini hakikatnya mendidik betapa seorang hamba perlu sentiasa 'tunduk, patuh dan taat' hanya kepada 'Tuannya'. Ia perlu disedari dari hati, bukan hanya sekadar di akal semata-mata.
'Tunduk, patuh dan taat' perlu direalisasikan bukan hanya di Tanah Suci, malah dalam seluruh kehidupan hamba itu sendiri. Dengan kata mudah, bakal tetamu Allah s.w.t. perlu berlatih melembutkan hati agar menjadi hamba yang 'baik' kepada Penciptanya mulai saat ini di tanah air lagi, bukannya semata-mata dimulai di Tanah Suci bila mengerjakan haji.
“Pakej ibadah haji sebenarnya menuntut seorang hamba mengubah cara berfikir dalam kehidupannya.”
Pakej haji sesungguhnya mendidik agar seorang hamba berkeyakinan teguh untuk memutuskan segala harapan yang selama ini disandarkan kepada makhluk.
Mengapa perlu melepaskan segala rasa kebergantungan kepada selain Allah s.w.t.? Kerana realitinya mungkin ada ketika (atau sering kali) dalam kehidupan, kita lebih banyak bergantung harap kepada manusia berbanding Allah s.w.t. Yang Mencipta kita. Kerana realitinya ada ketika (atau sering kali) dalam kehidupan, kita lebih yakin dengan bantuan manusia berbanding kuasa daripada Yang Maha Berkuasa. Ada ketikanya dalam hidup, kita lebih bergantung harap kepada manusia, harta, pangkat, darjat, jawatan, kedudukan dan sepertinya. Tanpa sedar, kita meletakkan Allah s.w.t. di tempat ke dua.. astaghfirullah. Hal ini berlaku secara halus dalam diri hingga kita sendiri tidak sedari.
Hakikatnya yang satu-satunya berkuasa membantu dan melakukan sesuatu hanyalah Allah s.w.t., Dia-lah Penguasa Alam Raya ini! Mengatur alam raya sahaja amat mudah bagiNya, inikan pula mengatur ketentuan bagi manusia yang sangat lemah dan jahil pula. Dia-lah Yang Mencipta manusia daripada setitis air yang hina. Justeru, Dia-lah Yang Maha Bijaksana menentukan dan mengaturkan hal yang terbaik ke atas diri hamba-hambaNya.
Pakej ibadah haji sebenarnya menuntut seorang hamba mengubah cara berfikir dalam kehidupannya. Jiwa dididik untuk tidak bergantung kepada makhluk dalam menentukan arah hidup. Mungkin ada yang berkata "mana mungkin tidak bergantung kepada manusia? Semua hal dalam kehidupan perlu berurusan dengan manusia!"
Kenyataan ini benar, namun ia tidaklah sepenuhnya benar. Cara fikir sebeginilah yang sebenarnya harus diubah sebelum, semasa dan setelah melalui didikan pakej ibadah haji. Maksud besar di sebalik mesej didikan Allah s.w.t. ialah kalau pun kita perlu berurusan dengan manusia, hati perlu terus tetap berharap dan bergantung hanya kepada Allah s.w.t., bukan kepada manusia.
Kita mungkin berkata bahawa Allah yang menentu segalanya. Namun benarkah kata-kata ini lahir dari hati atau ia sekadar diucap di bibir sahaja. Realitinya, kita masih bergantung harap kepada manusia tanpa kita sendiri menyedarinya. Nah, kalau pun manusia membantu atau mengikut seperti yang kita inginkan, itu sebenarnya berlaku semata-mata dengan izinnya Allah s.w.t.. Dialah yang berkuasa menggerakkan hati mereka untuk melakukan sesuatu mengikut apa yang kita hajati.
Insan-insan dalam kehidupan kita sebenarnya adalah jalan atau saluran yang disediakan Allah s.w.t. dalam segala perancangannya meliputi segala aspek kehidupan kita.
Sebagai contoh, katakanlah seorang pekerja yang akan menghadiri temuduga kenaikan pangkat. Dia sangat yakin pengalaman, pengetahuan, kemahiran dan sikapnya akan menjadi modal untuk berjaya dalam temuduga. Jauh di sudut hatinya, dia sangat mengharapkan para penemuduga untuk memilihnya.
Semasa ditemuduga, dia mampu menjawap semua soalan dengan lancar dan tepat. Dia juga mampu memberikan pandangan dengan baik apabila diminta memberi pendapat. Pendek kata, dia sangat yakin bahawa dia akan berjaya.
Tanpa diduga, keputusan temuduga tidak berpihak padanya. Dia terkejut besar. Dia sangat tidak berpuas hati, kecewa dan marah. Jiwanya memberontak! Dia marahkan para penemuduga. Dia marahkan Allah, tanpa dia sedari! Malang sekali...
Mengapa ini berlaku? Jawapannya mudah... kerana dia terlalu bergantung kepada 'modal'nya yang kononya terlalu hebat tanpa menyedari Allah lebih Bijaksana dalam mengatur hidupnya. Dia terlalu bergantung kepada manusia (penemuduga) untuk menentukan rezekinya, sedangkan Yang Maha Kaya dan Maha Pemberi Rezeki hanyalah Allah s.w.t.. Kebergantungan kepada makhluk dan ketidakpekaan terhadap perkara inilah yang membuatkan dia terlalu kecewa apabila tidak memperolehi apa yang diingini.
Apa yang boleh kita pelajari dari kisah ringkas ini?
Pertama... pengalaman, pengetahuan, kemahiran, sikap dan apa sahaja nilai positif yang ada pada diri kita sebenarnya merupakan modal yang dianugerahkan Allah s.w.t.kepada kita. Semuanya diberi atas kehendak Allah s.w.t.sebagai pinjaman semata-mata. Dia boleh memberi dan Dia juga boleh mengambilnya semula bila-bila masa sahaja.
Janganlah sesekali kita mendabik dada dan sombong dengan pengalaman atau kepakaran kita dalam sesuatu bidang. Sentiasalah kembali bersyukur dan bergantung kepada Allah s.w.t. agar kita diilhamkan melakukan kebaikan hasil dari anugerah Allah s.w.t. ini.
Kalaulah kita berjaya lakukan sesuatu sekali pun, ia bukanlah semata-mata hanya kerana kelebihan yang ada pada diri kita. Hakikatnya, dalam perspektif yang lebih luas ia berlaku dengan izinNya Allah jua. Bila berjaya dalam temuduga, bersyukurlah kepada Allah s.w.t. yang telah menggerakkan hati-hati para penemuduga untuk memilih kita. Itulah rezeki namanya.
Dalam konteks bakal jemaah haji, jelas sekali inilah bentuk keyakinan yang harus tertanam kuat dan jitu di dasar hati bermula di tanah air lagi. Usahlah kita terlalu berbangga dengan 'kehebatan' ilmu, bacaan dan persediaan yang telah kita lakukan untuk menunaikan ibadah haji. Hakikatnya, ia hanyalah sekadar ikhtiar kita semata-mata yang perlu dilakukan. Kita harus sedar dan insaf bahawa itu semua tidak akan bernilai di sisi Allah s.w.t. jika masih ada perasaan sombong dan riak di hati.
Marilah kita lembutkan hati dan marilah kita memohon sungguh-sungguh kerana yang hanya mampu menolong ialah Allah s.w.t. semata-mata, sama ada di tanah air apatah lagi di Tanah Suci nanti.
Di awal nukilan ini dikatakan bahawa 'tanpa sedar' kita sebenarnya sedang melalui pakej didikan hebat daripada Allah s.w.t.. Nah, sekarang tiba masanya untuk kita mengubah cara kita berfikir, kerana kita telah pun tahu betapa hebatnya pakej didikan ini. Kita harus melaluinya 'secara sedar' pula mulai saat ini.
Sungguh, proses dan pakej didikan ini harus dilalui 'secara sedar' pada fasa sebelum, semasa dan selepas menunaikan ibadah haji... barulah kita benar-benar 'merasai' dan 'menghargai'. Jika tidak, ia akan hanya dianggap seperti ritual biasa yang tidak langsung berbekas di hati.
Rasainya menjadi tetamu yang paling istimewa. Apabila ada yang bertanya "pergi Mekah dengan pakej apa?", jawaplah dengan penuh rendah hati sambil tersenyum, "InsyaAllah, saya akan ikuti 'pakej haji istimewa'."
Comentarios